Valencia tambah duka Barca

Valencia tambah duka Barca

BARCELONA, 18 April (Reuters) – Harapan Barcelona untuk mengubati luka apabila terkeluar daripada persaingan Liga Juara-juara oleh Atletico Madrid semakin parah apabila tewas di tangan Valencia 1-2 dalam saingan La Liga, awal pagi tadi.

Kelebihan sembilan mata yang diraih mereka sebelum ini turut dihapuskan dalam perlawanan tersebut.

Kekalahan 1-2 di halaman sendiri kepada Valencia awal pagi tadi adalah yang ketiga berturut-turut buat Barca dan yang pertama sejak 2003, di mana ketika itu mereka menamatkan kempen di tangga keenam.

Barcelona bagaimanapun masih mempunyai kelebihan dalam rekod pertemuan dengan Atletico dan mereka juga masih mendahului daripada penghuni tangga ketiga Real Madrid yang kini hanya dibezakan satu mata.

Sekiranya mereka menang dalam baki lima perlawanan liga – dua di Nou Camp dan tiga lagi di halaman lawan – Barca akan mengekalkan kejuaraan liga dan mereka mampu meraih gelaran berganda dengan menewaskan Sevilla di final Piala Raja pada 22 Mei ini.

Aksi Neymar dan pemain Valencia dalam perlawanan tersebut. - AFP
Aksi Neymar dan pemain Valencia dalam perlawanan tersebut. – AFP

Lionel Messi menjaringkan jaringan ke-500 kerjayanya untuk mengurangkan defisit selepas 64 minit namun Barca tidak mampu menemui jaringan penyamaan.

Walaupun Barcelona memperoleh kekalahan ketiga berturut-turut mereka, Luis Enrique kekal percaya pasukannya boleh menjuarai gelaran liga.

Jurulatih Luis Enrique cuba untuk kekal positif selepas tewas mengejut kepada Valencia, sebuah pasukan yang ditewaskan mereka 7-0 ketika aksi separuh akhir Piala Raja, dua bulan sebelum ini.

“Kami masih bergantung kepada diri sendiri. Kami sedar dengan cabaran yang datang,” kata Enrique dalam satu sidang media.

“Kami berdepan saingan yang amat hebat, sekiranya kami menang lima baki perlawanan, kami akan menjadi juara. Saya bermain bersama Barca untuk lapan tahun, ini adalah tahun kedua saya selaku jurulatih dan saya tidak pernah melihat peminat terus memberi sokongan kepada pasukan seperti malam ini.”

ARTIKEL YANG SAMA