Valverde: Nilai Barca, Juve dari keputusan, bukan perpindahan

BARCELONA, 12 Sept – Pengurus Barcelona Ernesto Valverde (gambar) memberi amaran supaya jangan memandang rendah keupayaan skuad bimbingannya dan aspirasi Juventus yang kehilangan beberapa pemain tonggak ketika jendela perpindahan.

Kedua-dua gergasi Eropah itu dijadual bertemu pada kempen pembukaan Liga Juara-Juara awal pagi esok, sekali gus mengulangi pertembungan suku akhir musim lalu yang memihak Juventus 3-0 secara agregat.

Barca masih dalam proses penyesuaian selepas kehilangan Neymar kepada Paris Saint-Germain (PSG) dengan rekod dunia AS$267 juta.

Begitupun Juventus yang melangkah ke final Liga Juara-Juara musim lalu sebelum tumbang kepada Real Madrid juga kehilangan beberapa bintang selepas Dani Alves berpindah ke PSG manakala Leonardo Bonucci ke AC Milan.

“Mereka kehilangan Bonucci namun kekal sebagai pasukan yang amat baik dan kuat. Saya boleh melihat komen yang membandingkan skuad dengan musim sebelum ini di setiap negara,” kata Valverde.

“Orang melihat kepada jendela perpindahan dan memutuskan sama ada skuad itu bertambah kuat atau lemah namun masa yang terbaik untuk melakukannya adalah pada penghujung musim.”

Selain Barca yang memenangi ketiga-tiga aksi La Liga musim ini, Juve yang kehilangan Giorgio Chiellini dan Mario Mandzukic susulan kecederaan, turut menang tiga perlawanan di Serie A dan menghuni tangga teratas.

“Dalam bola sepak setiap musim adalah berbeza daripada yang sebelum ini,” kata bos Juventus, Massimiliano Allegri.

“Pemain bertukar namun apa yang paling utama ialah keputusan. Ketika ini Juve tidak boleh apat lebih daripada sembilan mata dan Barca pun sama.” – AFP