Van Gaal akui bakat Rashford

Van Gaal akui bakat Rashford

MANCHESTER, 29 Feb (AFP) – Louis van Gaal memuji Marcus Rashford sebagai ‘bakat istimewa’ selepas pemain muda itu menandakan penampilan pertamanya bersama Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan mencetak dua jaringan ketika menundukkan Arsenal 3-2, malam tadi.

Rashforf sudah menjaringkan dua gol ketika disenaraikan buat kali pertama dalam kesebelasan utama United ketika menentang FC Midtjylland pada saingan 32 terakhir Liga Europa, dan dia terus mengukuhkan namanya sebagai penggempur muda berbisa dengan mengajar benteng pertahanan Arsenal cara bermain bola sebenar di Old Trafford.

Penyerang 18 tahun itu menghasilkan dua gol dalam tempoh tiga minit di babak pertama dengan penyudah tenang dan tandukan padu, sebelum mencipta gerakan untuk jaringan babak kedua Ander Herrera.

Kemunculan Rashford tepat pada masanya buat van Gaal, yang menghadapi tekanan sepanjang musim ini dan pengurus United itu segera memuji bakat penyudah tajam dimiliki pemain kelahiran Manchester itu.

“Pengalaman saya pemain muda hanya bermain cemerlang pada perlawanan pertama. Perlawanan kedua sebaliknya. Tetapi Marcus beraksi hebat pada kedua-dua perlawanan, jadi ini membuktikan dia memang mempunyai bakat istimewa,” kata Van Gaal.

Van Gaal dan Wenger ketika menyaksikan perlawanan Manchester United menentang Arsenal. Van Gaal memuji Rashford sebagai ‘bakat istimewa’ selepas berjaya mencetak dua jaringan ketika menundukkan Arsenal. – Reuters
Van Gaal dan Wenger ketika menyaksikan perlawanan Manchester United menentang Arsenal. Van Gaal memuji Rashford sebagai ‘bakat istimewa’ selepas berjaya mencetak dua jaringan ketika menundukkan Arsenal. – Reuters

“Kami mempunyai skuad yang kecil kerana itu kami boleh memberi peluang kepada pemain muda. Jika skuad yang besar bermakna mereka tidak akan meraih peluang ini.”

Ditanya di manakah Rashford akan disenaraikan di kalangan pemain muda terbaik yang pernah dilihatnya, bekas pengurus Barcelona, Bayern Munich dan Ajax menganggapnya berhak untuk diletak dalam senarai pemain muda elit.

“Saya boleh membayangkan ramai daripada mereka. Patrick Kluivert menjaringkan gol kemenangan (untuk Ajax) dalam saingan Piala Super di Belanda,” katanya.

“Xavi, sangat hebat ketika menentang Valladolid andai saya tidak silap dan Thomas Mueller membuat penampilan menakjubkan. Dia bermain bersama pasukan kedua (Bayern Munich).”

ARTIKEL YANG SAMA