Van Gaal akui bosan

Van Gaal akui bosan

MANCHESTER, 12 Jan (AFP) – Louis Van Gaal mengakui kadangkala dia ‘terlalu bosan dan marah’ dengan beberapa aksi Manchester United musim ini menjelang pertemuan menentang Newcastle, awal pagi ini.

Beliau berkata, dia ‘menikmati’ beberapa perlawanan United musim ini yang dilihat lebih banyak menampilkan taktikal menguasai permainan, namun tetap menyaksikan kelab itu tersingkir daripada saingan elit Liga Juara Juara Eropah dan juga di tangga kelima liga.

Para penyokong mengejek pada separuh masa pertama pusingan ketiga Piala FA menentang Sheffield United dengan ribuan penyokong mengambil keputusan untuk pulang awal.

Ketika ditanya punca penyokong meninggalkan stadium lebih awal sebelum jaringan penalti minit-minit akhir perlawanan Wayne Rooney membolehkan United menang tipis ke atas kelab divisyen ketiga itu, ini jawapan Van Gaal.

“Mungkin mereka tidak menjangka kami akan dapat menjaringkan gol. Mungkin juga mereka pulang awal bagi mengelakkan daripada tersekat dalam kesesakan lalu lintas.

Van Gaal kelihatan tidak berpuas hati dengan aksi Man United ketika menentang Sheffield United baru-baru ini. – Reuters
Van Gaal kelihatan tidak berpuas hati dengan aksi Man United ketika menentang Sheffield United baru-baru ini. – Reuters

“Tidak dinafikan sekarang detik yang sukar buat kami tetapi stadium masih dipenuhi penyokong. Anda boleh cakap pasal mereka meninggalkan stadium awal tetapi anda juga perlu tahu mereka tetap datang menyaksikan perlawanan,” katanya.

Pengendali kelahiran Belanda itu juga menuntut penyokong supaya berasa gembira dengan prestasi United buat masa ini meskipun pasukan itu hanya mampu melakukan percubaan tepat pada minit ke-69 menentang kelab kerdil berkenaan.

Dia juga enggan mengulas kenyataan bekas pemain United, Paul Scholes, yang menyatakan corak permainan di bawah kendaliannya sebagai ‘membosankan’ dan juga ‘tiada semangat’.

“Saya gembira dengan beberapa perlawanan yang kami hadapi, namun ada juga beberapa perlawanan yang membosankan dan menyebabkan saya marah kerana kami tidak mempamerkan persembahan yang sepatutnya tetapi inilah bola sepak.

“Kebanyakan kelab juga tidak dapat beraksi dengan baik pada setiap perlawanan yang mereka hadapi,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA