Van Gaal belum puas

Van Gaal belum puas

BIRMINGHAM, 16 Ogos (AFP) – Pengurus Manchester United, Louis van Gaal mengkritik jentera serangannya yang disifatkan tumpul selepas sekadar mencatat kemenangan 1-0 ke atas Aston Villa, awal semalam.

Ia kemenangan kedua berturut-turut United dalam kempen Liga Perdana musim ini dengan gol tunggal dijaringkan Adnan Januzaj pada minit ke-29.

Kemenangan meletakkan United di persada liga namun Van Gaal tetap kecewa dengan persembahan yang ditampilkan pasukan bimbingannya terutama di bahagian serangan.

“Apabila kamu menjaringkan gol yang lebih berbanding pasukan lawan, ia sudah mencukupi,” katanya. “Namun saya fikir kamu betul, kerana kami begitu banyak kehilangan bola yang tidak sepatutnya.

“Ia bukan saja oleh Adnan Januzaj, namun juga Mamphis Depay dan Wayne Rooney. Jadi ia membabitkan ramai pemain. Saya boleh berkata lebih lagi. Kami perlu memperbaikinya.”

Louis van Gaal (dua kanan) mengkritik jentera serangannya yang agak tumpul semasa menentang Aston Villa. – AFP
Louis van Gaal (dua kanan) mengkritik jentera serangannya yang agak tumpul semasa menentang Aston Villa. – AFP

United mencatat kemenangan 1-0 ke atas Tottenham Hotspurs minggu lalu sekalipun hanya memiliki satu cubaan tepat ke gawang dan ia tidak bertambah baik ketika menentang Villa.

“Saya gembira dengan jaringan itu kerana ia adalah gol yang menarik,” kata Van Gaal mengulas jaringan Januzaj.

“Bagaimana Adnan melakukannya, namun kamu perlu melakukan lebih daripada menjaringkan gol,” kata pengendali kelahiran Belanda itu yang mengakui Januzaj turut banyak melepaskan peluang.

Van Gaal juga enggan memperkatakan mengenai masa depan penjaga gol, David de Gea bersama United.

Penjaga gol itu sekali lagi disisihkan pada perlawanan menentang Villa dengan Van Gaal menurunkan penjaga gol Argentina, Sergio Romero.