Van Gaal dapat tamparan terbaru

Van Gaal dapat tamparan terbaru

LONDON, 9 Feb – Pengurus Manchester United Louis van Gaal menerima tamparan terbaru pada Isnin apabila harga saham kelab Liga Perdana Inggeris itu turun ke paras terendah dalam tempoh tiga tahun.

Van Gaal telah bergelut untuk mengekalkan jawatannya sepanjang musim yang bermasalah dan diburukkan lagi oleh berita bahawa kedudukan saham United tidak berapa menceriakan berbanding status liga mereka.

Harapan United untuk layak ke Liga Juara-Juara terjejas Ahad lalu apabila penyerang Chelsea Diego Costa menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk menyelamatkan keputusan seri 1-1 dengan pasukan Van Gaal, yang kini enam mata di belakang empat teratas dengan 13 baki perlawanan.

Kemungkinan gagal untuk mendapat tempat dalam kejohanan utama lumayan di Eropah jelas membimbangkan para pelabur ketika harga saham United jatuh dari AS$14.50 sesaham kepada AS$13.86 sesaham pada Isnin.

Angka itu adalah harga paling rendah sejak Disember 2012, malah harga saham kelab juga tidak seburuk itu pada hari-hari paling malang David Moyes.

Harga saham United jatuh sebanyak 2.6 peratus pada dagangan pagi di Bursa Saham New York sebelum meningkat melebihi paras AS$14 lagi pada sebelah petang. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA