Van Gaal enggan salahkan serangan bas

Van Gaal enggan salahkan serangan bas

LONDON, 11 Mei (AFP) – Pengurus Manchester United Louis van Gaal enggan menyalahkan serangan ke atas bas pasukannya menjadi punca peluang Red Devils untuk beraksi di kempen Liga Juara-Juara kian sukar selepas tewas kepada West Ham United.

Kekalahan 3-2 awal pagi tadi, yang dicemari insiden bas membawa pemain United diserang dan dibaling dengan objek-objek keras ketika menuju ke Stadium Upton Park, memaksa anak-anak buah Van Gaal perlu menewaskan Bournemouth pada aksi terakhir Ahad ini.Mereka turut berharap musuh tetangga, Manchester City kalah di Swansea City jika mahu menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik.

“Tidak, ia belum berakhir,” kata Van Gaal merujuk kepada peluang empat teratas berikutan keputusan hambar pada aksi terakhir West Ham di Upton Park sejak 112 tahun lalu.

Van Gaal (kanan) menunggu di dalam bas untuk meninggalkan Upton Park selepas pasukannya menentang West Ham, kelmarin. – AP
Van Gaal (kanan) menunggu di dalam bas untuk meninggalkan Upton Park selepas pasukannya menentang West Ham, kelmarin. – AP

“Pada perlawanan terakhir musim ini kami masih boleh mengatasi Manchester City. Mereka boleh kalah dan kami menang. Kemudian kami memanjat ke kedudukan keempat. Anda boleh kira, saya fikir?”

Namun, Van Gaal berkata dia tidak berminat menjadikan serangan bas itu sebagai alasan pasukannya tewas walaupun tidak menolak ia mungkin sedikit menjejaskan pemain mudanya.

“Saya mempunyai pengalaman panjang dalam bola sepak dan terdapat pemain yang belum merasai suasana seperti itu,” kata pengendali berusia 64 tahun dari Belanda itu.