Van Gaal mungkin letak jawatan

Van Gaal mungkin letak jawatan

LONDON, 27 Dis – Louis van Gaal memberi bayangan akan mengosongkan kerusi panas di Manchester United selepas The Red Devils tewas kepada Stoke City 2-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Jaringan penyerang Stoke Bojan Krkic dan Marko Arnautovic menghukum United di Stadium Britannia dan meskipun pelawat mempamerkan peningkatan di babak kedua, namun ia masih belum cukup memadai untuk mengubah situasi perlawanan.

Van Gaal kini dihantui tujuh perlawanan tanpa kemenangan yang turut menyaksikan United tersingkir daripada Liga Juara-Juara dan berada di luar kelompok empat terbaik liga selepas ditewaskan Bournemouth, Norwich City dan Stoke. Selepas dikritik media dan menunjukkan kemarahannya ketika sidang media sebelum perlawanan Rabu lalu, Van Gaal membayangkan akan meletak jawatan selepas kekalahan United buat kali keempat berturut-turut itu.

“Kelab tidak perlu memecat saya – kadangkala saya lakukannya sendiri,” kata bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu.

Sebelum itu, Van Gaal turut diajukan soalan sekiranya dia masih menganggap dirinya mampu mengubah musim buruk United dan sama ada dia menerima sokongan daripada pengurusan kelab. “Ia tampak lebih sukar kerana saya adalah sebahagian daripada empat perlawanan yang kami tewas dan orang luar melihat kepada saya,” kata Van Gaal. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA