Van Gaal nafi beli peledak

Van Gaal nafi beli peledak

SWANSEA, 31 Ogos (AFP) – Pengurus Manchester United, Louis van Gaal menolak kemungkinan kembali segera ke jendela perpindahan untuk merombak skuadnya yang berdepan masalah mendapatkan peledak jaringan susulan tewas 2-1 kepada Swansea City.

Juan Mata memberikan gol kepada United pada minit ke-48 di Stadium Liberty, awal pagi tadi namun pengurus Swansea, Garry Monk segera menukar strategi permainan di barisan hadapan membolehkan tuan rumah bangkit untuk memperoleh dua gol dalam masa lima minit.

Andre Ayew menyamakan kedudukan pada minit ke-61 dengan tandukan meleret ke bawah menewaskan penjago gol United, Sergio Romero sebelum menghantar bola kepada Bafetimbi Gomis untuk gol kemenangan.

Ashley Williams yang menjatuhkan Wayne Rooney pada minit terakhir bagaimanapun tidak diberikan tendangan penalti oleh pengadil, sekali gus melebarkan rekod kekalahan United kepada Swansea kepada tiga perlawanan serta merobek rekod tanpa kalah Van Gaal musim ini.

Ditanya sama ada dia akan menambah baik skuadnya dengan penyerang berbisa sebelum jendela perpindahan tamat esok, Van Gaal berkata: “Anda tidak boleh menyatakan anda berpuas hati dalam kelab seperti United.

Van Gaal semasa mengendalikan pasukannya menentang Swansea di Stadium Liberty semalam. – AFP
Van Gaal semasa mengendalikan pasukannya menentang Swansea di Stadium Liberty semalam. – AFP

“(Namun) kami tidak akan tandatangani pada hujung tempoh jendela perpindahan ini untuk pemain yang tidak kami kenal pasti lagi. “Justeru kami akan terus seperti ini dan pada Januari nanti, perpindahan akan dibuka semula,” katanya.

Mengenai corak permainan, van Gaal berkata: “Mesti ada perasaan kecewa namun lebih banyak rasa ralat. “Untuk 85 minit, kami mendominasi perlawanan. Namun kami kalah dalam masa lima minit. Kami kalah kerana mereka tukar corak.

“Kedua-dua pasukan melakukan apa saja untuk menang namun lima minit itu perbezaannya apabila mereka tukar corak dan memperoleh dua gol.

“Ia satu pengajaran besar kepada kami kerana kami perlu menyesuaikan keadaan dengan pantas, mereka tukar (corak) dan kami terleka,” katanya.

Van Gaal juga tidak mahu menuding kepada sesiapa ekoran kekalahan itu dan menolak bahawa Romero adalah sebahagian punca dua gol bolos itu.

“Pada akhir permainan, tekanan kepada mereka yang terakhir bertahan atau penjaga gol. Tapi saya tidak setuju bahawa penjaga gol tidak bermain baik hari ini,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA