Van Gaal naik berang

Van Gaal naik berang

MANCHESTER, 24 Dis (Agensi) – Louis van Gaal membuat kejutan apabila meninggalkan sidang media pada Rabu di sini, sebagai membantah spekulasi kononnya dia akan digantikan oleh Jose Mourinho di Manchester United.

Pengendali dari Belanda ini kini semakin tertekan selepas tiga kekalahan berturut-turut sekali gus menimbulkan khabar angin, dia akan dipecat pada Krismas, tatkala Red Devils bersedia menentang Stoke City dan Chelsea.

Nasib Van Gaal menjadi tumpuan selepas Mourinho tidak lagi membimbing Chelsea selepas dipecat.

Van Gaal meninggalkan sidang media itu selepas membuat kenyataan emosi sebaik wakil media bertanyakan mengenai komen dibuat oleh pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang menganggap spekulasi mengenai pemecatannya sebagai biadap.

Sidang media pengendali United ini hanya berlangsung selama empat minit dan 58 saat.

Van Gaal naik berang berikutan beberapa pertanyaan daripada pihak media mengenai spekulasi dirinya dipecat.
Van Gaal naik berang berikutan beberapa pertanyaan daripada pihak media mengenai spekulasi dirinya dipecat.

“Ada sesiapa yang tidak berasakan untuk meminta maaf pada saya? Itu yang merunsingkan saya,” katanya.

“Saya fikir saya saya sudah dipecat, saya membacanya. Saya sudah dipecat. Rakan saya (Mourinho) sudah pun dipecat.

“Apa anda fikir berlaku dengan isteri dan anak saya? Atau cucu saya? Atau penyokong Manchester United? Atau rakan-rakan saya? Apa yang anda fikir? Mereka menghubungi saya banyak kali dan juga Arsene Wenger memperkatakan sesuatu mengenainya.

“Adakah anda fikir saya ingin bercakap dengan media sekarang. Saya berada di sini, kerana peraturan Liga Perdana Inggeris (EPL). Saya perlu bercakap dengan anda. Namun, saya dapat melihat betapa apa yang saya katakan, akan anda gunakan mengikut konteks anda sendiri.

“Apa yang saya dapat katakan, saya sedia meningkatkan semula keyakinan pemain saya. Saya sudah lakukan semuanya pada minggu ini.

“Saya mengadakan perjumpaan dengan pemain bersama sejumlah staf saya. Saya mengadakan makan tengahari Krismas, saya turut berucap. Saya dapat berasakan sokongan daripada semua di Carrington dan di pusat latihan AON.

“Tapi saya tidak dapat merasakan ini bersama media dan sudah tentu saya boleh gambarkan anda akan menulis mengenainya. Kami tidak berada pada kedudukan baik tapi empat minggu lalu kami berada di kedudukan teratas EPL.

“Namun selepas empat minggu, kami kembali ke posisi asal semula.

Ditanya mengenai spekulasi membabitkan dirinya dengan kelab United itu, Van Gaal berkata dia menerima panggilan tanda memberi sokongan daripada Alex Ferguson dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif United, David Gill serta Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward.

“Saya dapat katakan, saya kini fokus kepada aksi bertemu Stoke. Saya membantu pemain saya. Saya mengucapkan selamat Hari Krismas dan Selamat Tahun Baharu jika saya bertemu anda semula. Selamat tinggal,” katanya sebelum meninggalkan sidang media itu.