Van Gaal puji Rooney

Van Gaal puji Rooney

BRUGES, Belgium, 27 Ogos (AFP) – Louis van Gaal memuji Wayne Rooney kerana memiliki ketahanan mental yang kuat selepas kapten pasukannya itu mencipta hatrik ketika membantu menewaskan Club Brugge, 4-0, dalam aksi penentuan ke saingan Liga Juara-Juara, semalam.

Kejayaan Manchester United itu membolehkan pasukan berkenaan menang dengan agregat 7-1 untuk sekali gus mara ke peringkat saingan kumpulan.

Rooney sebelum ini kemarau gol dalam 10 perlawanan sekali gus menimbulkan tanggapan dia mungkin tidak serasi beraksi sendiri sebagai penyerang skuad The Red Devils mengikut sistem Van Gaal.

Pengendali kelahiran Belanda itu bagaimanapun tidak pernah meragui kemampuan kapten England itu untuk mendapatkan semula sentuhan penyudahnya.

Rooney meraikan jaringan bersama Memphis Depay dan Mata dalam aksi Liga Juara-Juara di Bruges semalam. - Reuters
Rooney meraikan jaringan bersama Memphis Depay dan Mata dalam aksi Liga Juara-Juara di Bruges semalam. – Reuters

“Saya sentiasa memberikan dia keyakinan, sesuatu yang diperlukan pemain tetapi saya fikir Wayne memiliki mental kuat dan mampu kembali pada tahap seperti itu.”

“Dan dia buktikan pada malam ini (Rabu). Namun perjalanan masih panjang buat dirinya dan bagi Manchester United, ia bukan perkara mudah. Tapi sudah tentu, saya sangat gembira dengan persembahannya.”

Tiga jaringan Rooney itu menerusi umpanan daripada Memphis Depay, Ander Herrera dan Juan Mata.