Van Persie pergi, United pikat Muller

Van Persie pergi, United pikat Muller

LONDON, 10 Julai (Agensi) – Manchester United sudah pun bersetuju melepaskan Robin van Persie (gambar) kepada pasukan gergasi bola sepak Turki, Fenerbache pada harga 4.7 juta pound.

Pemain Belanda itu, akan berangkat ke negara berkenaan pada hujung minggu ini bagi menjalani pemeriksaan perubatan selepas bersetuju dengan kontrak selama empat tahun dan bayaran gaji sebanyak 200,000 pound seminggu.

Starsport pada April lalu mendedahkan, Van Persie akan dijual, namun pemergiannya bakal menyebabkan pengendali pasukan itu, Louis van Gaal akan kekurangan peledak di barisan depan.

Sebelum ini, pasukan itu sudah menghantar pulang pemain pinjamannya, Radamel Falcao ke Monaco sebelum dia menyertai Chelsea, manakala Danny Welbeck pula dijual kepada Arsenal.

Javier Hernandez yang kembali dari beraksi secara pinjaman dengan Real Madrid mengalami masalah kecederaan dan tidak dapat diturunkan lagi.

Van Persie meninggalkan United untuk menyertai kelab Fenerbahce di Turki. – Reuters
Van Persie meninggalkan United untuk menyertai kelab Fenerbahce di Turki. – Reuters

Berikutan itu, United difahamkan sedang meningkatkan lagi usaha untuk membawa masuk bintang Piala Dunia Jerman, Thomas Muller dari Bayern Munich ke Old Trafford bagi menampung kekurangan berkenaan.

Setakat ini Bayern masih enggan menjual pemain itu, namun begitu, Ketua Eksekutif United Ed Woodward tetap yakin dapat memikat pemain itu pada harga 60 juta pound.

Ketika ini, Van Gaal hanya memiliki Wayne Rooney dan pemain muda, James Wilson di barisan penggempur dan kini perlu sekurang-kurangnya mengikat seorang lagi penyerang bagi membantu United mencabar gelaran kejuaraan.

Pengendali Belanda itu turut berminat membawa masuk bintang Tottenham Hotspur, Harry Kane selain Edison Cavani dari Paris St Germain (PSG) dan bintang sensasi Lyon, Alexandre Lacazette.

Namun Muller sudah membuktikan dirinya berada pada tahap tertinggi untuk memenangi kejuaraan terbesar dan sekali gus kekal menjadi sasaran nombor satu Van Gaal.

ARTIKEL YANG SAMA