Van Rensburg raih jersi kuning LTdL

Van Rensburg raih jersi kuning LTdL

MELAKA, 2 Mac (Bernama) – Reinardt Janse Van Rensburg muncul pelumba ketiga Afrika Selatan meraih jersi kuning selaku Pelumba Terbaik Keseluruhan pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2016, yang berakhir di sini Rabu.

Biarpun menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 daripada 121 pelumba pada peringkat akhir sejauh 119km dari Batu Pahat ke Dataran Pahlawan, Rensburg masih unggul mengekalkan jersi berkenaan dengan catatan masa keseluruhan 28 jam 31 minit dan 21 saat, selepas lapan peringkat perlumbaan.

Beliau berjaya mengetepikan cabaran sengit dua pelumba Colombia – Daniel Alexander Jaramillo Diez dari UnitedHealthCare Pro Cycling Team dan Miguel Angel Lopez Moreno dari Astana Pro Team, masing-masing ketinggalan 18 dan 19 saat.

Selaku juara, Rensburg membawa pulang trofi LTdL berbentuk Helang, yang disampaikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Untuk rekod, dua pelumba Afrika Selatan – mendiang Ryan Cox dari Barloworld dan David George, yang mewakili Pasukan Kebangsaan Afrika Selatan, memenangi jersi kuning berturut-turut pada edisi 2005 dan 2006.

Sementara itu, pelumba Astana Pro Team dari Kazakhstan, Andrea Guardini muncul pelumba paling cemerlang dalam sejarah LTdL apabila meraih kemenangan peringkat kali ke-22, selain memenangi jersi teal selaku Raja Pecut untuk kali ketiga selepas 2011 dan 2012, setelah menjuarai perlumbaan hari ini.

Pelumba Itali berusia 26 tahun itu, yang sebelum ini sudahpun memenangi tiga peringkat pada edisi tahun ini, mencatat masa 2 jam 42 minit dan 55 saat, dalam perlumbaan yang berakhir secara berkelompok hari ini.

Rakan senegara Guardini, Jakub Mareczko dari Southeast-Venezuela, yang meraih kemenangan sulung pada peringkat keenam dua hari lepas, menduduki tempat kedua manakala pelumba Jepun Shiki Kuroeda dari Aisan Racing Team menampilkan kayuhan terpuji untuk berada di tempat ketiga

Untuk rekod, Guardini yang juga dikenali sebagai ‘Mr Langkawi’ memenangi lima peringkat perlumbaan pada edisi 2011, enam (2012), tiga (2014) dan empat peringkat pada tahun lepas.

Dalam pada itu, Muhamad Adiq Husainie Othman dari Terengganu Cycling Team (TSG) mencipta sejarah apabila muncul pelumba Malaysia pertama meraih jersi putih selaku Pelumba Terbaik Asia sejak LTdL diperkenal pada 1996, manakala pelumba China Wang Meiyin dari Hengxiang Cycling Team, memenangi jersi polka dot sebagai Raja Bukit untuk kali kedua selepas menjuarainya pada 2013.

Bercakap pada sidang media, Rensburg berkata kejayaan muncul juara keseluruhan LTdL adalah pencapaian terbaiknya dalam jelajah berbasikal profesional dunia sejak 2012, dan berhasrat beraksi pada perlumbaan itu tahun depan.

“Kejayaan ini sudah tentu pencapaian terbaik dalam karier saya, dan saya benar-benar gembira meraih gelaran dalam kalender perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu,” katanya, sambil berterima kasih kepada pengurusan pasukan yang menyenaraikan beliau di LTdL pada saat akhir.

Dalam pada itu, Guardini berkata kejayaan meraih kemenangan peringkat kali ke-22 itu amat bermakna dan berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana banyak membantunya menjuarai kemenangan itu.

“Saya berharap dapat kembali ke Malaysia tahun depan untuk bersaing dalam LTdL,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA