Vandoorne bakal ganti Button

Vandoorne bakal ganti Button

MONZA, Itali, 4 Sept – Pemandu muda Belgium, Stoffel Vandoorne akan menggantikan Jenson Button sebagai pemandu utama bersama McLaren dalam musim 2017, kata pemandu veteran dari Britain itu.

Button, 36, berkata dia belum lagi bersara tetapi berkata akan mengambil “cuti” tahun depan.

Susulan itu, McLaren berkata, mereka akan mengambil strategi tiga pemandu pada musim depan, dengan Button yang juga juara dunia 2009 akan menandatangani kontrak lanjutan dengan “peranan inovatif”.

“Untuk menjelaskannya, saya sudah pasti tidak akan bersara. Kontrak saya adalah bagi 2017 dan 2018,” kata Button.

“Saya berhasrat untuk bekerja keras dalam pembangunan kereta dan saya pasti saya akan kembali memandu kereta baharu pada suatu masa.

“Saya gembira yang saya akan kekal sebagai anggota penting pasukan McLaren-Honda.”

Dia menambah: “Secara khusus, saya tak sabar untuk lebih banyak terbabit dalam usaha pasukan bagi memastikan kejayaan yang kami mahu hasilkan.

“Saya sayangkan McLaren-Honda. Saya sangat yakin kami mempunyai orang yang terbaik yang pernah saya kerja bersama dan saya tidak ada niat untuk memandu bersama pasukan lain.”

Button dikaitkan dengan kepulangannya ke Williams, tempat dia memulakan kariernya pada 2000, susulan pengumuman pemandu Brazil, Felipe Massa pada Khamis lalu yang berhasrat untuk bersara pada hujung tahun ini. – AFP