Vape dikhuatiri penyebab kanser

Vape dikhuatiri penyebab kanser

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) – Pakar kanser berpendapat tabiat menghisap cecair nikotin menggunakan rokok elektronik (vape) menjadi punca penggunanya menghidap penyakit maut, iaitu kanser.

Ketua Pegawai Perubatan Pusat Saringan Kanser, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr Dalilah Kamaruddin berkata proses pengewapan cecair nikotin, yang dihasilkan daripada rokok elektronik, akan disedut pengguna dan wap nikotin mempunyai sifat yang sama dengan asid nitrik.

Beliau berkata asid tersebut merupakan bahan kimia pemangkin kepada berlakunya kanser di dalam tubuh manusia.

“Lagipun, kita tak boleh guna cecair nikotin walaupun sukatannya sedikit kerana dikhuatiri hasil resapannya ke dalam darah akan mengubah kandungan efisien dalam badan, kerana selain nikotin, cecair itu juga mengandungi gliserin.

“Malahan nikotin yang diwapkan itu sama dengan asid nitrik yang boleh menyebabkan kanser,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Rokok elektronik atau vape yang kini berleluasa digunakan oleh orang ramai. – Reuters
Rokok elektronik atau vape yang kini berleluasa digunakan oleh orang ramai. – Reuters

Dr Dalilah mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, yang menasihati pengguna shisha dan vapor supaya berhenti menggunakannya buat sementara waktu sehingga keputusan mengenai risikonya diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi.

Kementerian itu kini sedang berbincang dengan pelbagai agensi dan pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai kesan penggunaan rokok elektronik itu.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Paul Selvaraj menyokong cadangan kerajaan itu dan alasan pengguna untuk berjimat daripada membeli batang rokok adalah tidak wajar.

“Kita seharusnya melihat gejala ini dari segi kesihatan dan bukannya kos.

Kalau nak berjimat tetapi kesihatan diabaikan, jika sakit sudah tentu akan memakan kos yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, hasil tinjauan Bernama hari ini di sekitar Kampung Baru, di sini mendapati, rata-rata mereka tidak akan berhenti menggunakan vapor selagi keputusan kajian belum dikeluarkan.

Seorang Pegawai Perhubungan Awam dari Shah Alam, Saiful Hazim Abdul Razak, 29, ketika ditemui di sini berkata beliau tidak akan berhenti menggunakan vapor walaupun mengetahui terdapat bahan yang berbahaya di dalam vapornya.