Vardy diberi posisi tepi

Vardy diberi posisi tepi

MANCHESTER, 24 Mei (AFP) – Pengurus dan juga merangkap jurulatih England, Roy Hodgson mempertahankan keputusannya untuk meletakkan Jamie Vardy di posisi tepi selepas penyerang Leicester City itu menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Turki dengan jaringan 2-1 dalam aksi pemanas badan, kelmarin.

Vardy yang menjaringkan 24 gol dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, dibawa masuk sebagai sayap kiri dalam formasi eksperimen 4-3-3 untuk aksi di Stadium Etihad itu.

Namun selepas dikembalikan ke posisi penyerang tengah, dia berjaya meraih penalti, yang mana gagal disempurnakan rakan sepasukan, Harry Kane, sebelum dia meledak gol kemenangan pada minit ke-83 gol peribadi ketiga sepanjang tiga penampilan buat England.

“Kami perlu memastikan dapat bermain dengan kedua-dua sistem,” kata Hodgson yang pasukannya akan berdepan Australia dan Portugal sebelum Euro 2016.

Vardy ketika meraikan gol kemenangannya buat England beberapa hari lalu. - AP
Vardy ketika meraikan gol kemenangannya buat England beberapa hari lalu. – AP

“Saya tidak percaya bahawa tindakan saya meminta Vardy atau (Danny) Welbeck sebelum ini, untuk bermain sebagai penyerang di bahagian kiri atau kanan menyebabkan mereka berdepan masalah.

“Banyak kejayaan besar kita dapat dengan Welbeck, (Wayne) Rooney dan (Raheem) Sterling. Kami juga kena biasakan ia dengan pemain lain.

“Saya tidak fikir kita perlu membuat kesimpulan sekiranya Vardy beraksi, kita hanya boleh gunakan dia dalam satu sistem saja kerana dia akan menjadi antara 23 pemain yang terpilih.”

Vardy, 29, akan terlepas perlawanan persahabatan seterusnya menentang Australia di Sunderland pada Sabtu ini memandangkan dia bakal melangsungkan perkahwinannya esok.