Variasi menu ala Carte

Variasi menu ala Carte

BOSAN kerana seringkali mengulang menu yang sama di rumah, usah pening kerana menu ala Carte juga boleh memberikan kelainan dalam rutin menu anda di rumah.

Justeru kini ditampilkan variasi masakan yang berkonsepkan ala Carte.

Ayam Masak Gajus

Bahan-bahan:

1 mangkuk ayam yang dipotong kecil

4 ulas bawang putih yang dicencang

1 sudu makan kicap cair

1 sudu makan sos tiram

1 sudu makan jus halia

1sudu teh minyak bijan

½ sudu teh kicap pekat

2 sudu teh gula

100 gram gajus yang digoreng sehingga garing

1 mangkuk lobak merah

Bahan perapan:

1 sudu teh kicap cair

1 sudu teh sos tiram

1 sudu teh jus halia

½ sudu teh minyak bijan

Garam secukup rasa

2 sudu besar air

2 sudu teh tepung jagung

Cara memasak:

Perapkan ayam bersama bahan perapan selama ½ jam.

Goreng ayam yang diperap separuh masak dan ketepikan.

Tumiskan bawang putih serta bawang besar sehingga naik bau.

Masukkan semua bahan kecuali gajus dan salad.Kacau sehingga rata.

Kemudian masukkan ayam dan gajus.

Kacau sehingga sebati.

Siap untuk dihidangkan bersama nasi panas.

Puyuh Goreng Kunyit

Bahan-bahan:

2 ekor burung puyuh yang dipotong empat dan dibersihkan

1 ½ sudu makan serbuk kunyit

1 sudu teh jintan manis yang ditumbuk

2 labu bawang Holland yang dipotong bulat

2 biji cili besar merah yang dipotong serong

Garam dan gula secukup rasa

Cara membuat:

Perapkan daging burung puyuh dengan garam, kunyit dan serbuk jintan manis.

Tunggu antara 15 ke 30 minit.

Goreng puyuh sehingga berwarna kekuningan.

Masukkan bawang dan cili besar.

Masukkan gula. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.

Haruan Masak Tiga Rasa

Bahan-bahan:

1 ekor ikan haruan yang dibersihkan

2 sudu besar tepung jagung

Garam dan kunyit secukup rasa

Bahan untuk kuah:

5 ulas bawang putih yang dicincang halus

4 biji bawang merah yang dicincang halus

1 inci halia

1 biji bawang besar yang dipotong bulat

1 biji tomato yang dipotong dadu

Nenas sebagai hiasan yang dipotong dadu

1 batang serai yang dititikkan

1 batang bunga kantan yang dihiris nipis

6 biji cili padi yang dihiris nipis

1 biji cili merah yang dihiris nipis

2 sudu makan cili kisar

4 sudu makan sos cili

3 sudu makan sos tomato

1 sudu makan sos tiram

1 sudu makan sos ikan

3 helai daun limau purut

Garam dan gula secukup rasa

Cara membuat:

Lumurkan ikan haruan dengan garam, kunyit dan tepung jagung.

Goreng hingga garing dan ketepikan.

Dalam kuali yang berasingan tumis bawang putih, bawang merah dan cili kisar sehingga pecah minyak.

Masukkan halia, serai, bunga kantan, cili padi. Kacau seketika.

Masukkan tomato, sos cili, sos tomato, sos tiram, sos ikan dan biarkan masak sehingga kuahnya memekat.

Masukkan daun limau purut.

Tuangkan kuah di atas ikan yang digoreng tadi.

Sedia untuk dihidangkan dengan potongan nenas.

ARTIKEL YANG SAMA