Venezuela, Algeria runding isu minyak

ALGIERS, 11 Sept – Presiden Venezuela, Nicolas Maduro berkunjung ke Algeria rakan anggota OPEC hari ini bagi rundingan selepas mengumumkan Caracas akan menjual minyak mentah dalam mata wang bukan dolar dalam bidaan untuk menentang sekatan Amerika Syarikat (AS).

Maduro tiba lewat kelmarin di negara Afrika Utara dan dijangka akan membincangkan cara untuk mengukuhkan kerjasama dua hala, menurut kenyataan dari kerajaannya.

Pihak presiden Algeria berkata Maduro dan tuan rumah Algeria juga akan mengkaji situasi dalam pasaran minyak dunia.

Ia tidak menghuraikan lebih lanjut atau berkata sama ada mesyuarat itu dirancang bersama Presiden yang jatuh sakit, Abdelaziz Bouteflika, 80.

Maduro berkata pada Jumaat dia merancang ‘untuk mula menjual minyak, gas dan produk lain yang Venezuela jual dengan mata wang baru, termasuk yuan China, yen Jepun, ruble Rusia, rupee India dan lainnya.

Nicolas Maduro tiba di Lapangan Terbang Houari Boumedien di Algeria bagi lawatan dua hari pada 10 September. – AFP

“Ekonomi bebas dari sistem imperialis AS adalah tidak mustahil,” katanya semasa penyiaran dalam televisyen.

Sekatan baru keras Washington ke atas Caracas menghalang bank-bank Amerika daripada membuat perdagangan dalam bon baru yang dikeluarkan oleh kerajaan Venezuela atau syarikat minyak milik kerajaan PDVSA.

Matlamatnya adalah untuk menyekat akses negara Selatan Amerika kepada bon penting dan pasaran ekuiti.

Kedua-dua Algeria dan Venezuela merupakan anggota kartel Persatuan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan telah dilanda teruk oleh harga minyak rendah berikutan kemerosotan pasaran pada 2014. – AFP