Venezuela kejutkan Colombia

Venezuela kejutkan Colombia

RANCAGUA, Chile, 15 Jun (AFP) – Pemain penyerang Zenit St. Petersburg, Slomon Rondon menjaringkan gol ketika Venezuela menewaskan Colombia yang dipenuhi pemain bintang 1-0 dalam saingan Copa America semalam.

Colombia, yang dibintangi pemain bintang yang berpangkalan di Eropah termasuk James Rodriguez dari Real Madrid dan Radamel Falcao dari Manchester United, dikenali sebagai kuda hitam dalam usaha mereka memburu gelaran.

Tetapi pasukan suku akhir Piala Dunia 2014 itu tidak dapat memberikan tindak balas selepas Rondon membawa pendahuluan Venezuela pada pertengahan separuh masa kedua.

Jaringan tersebut menamatkan persaingan di Estadio El Teniente di mana Colombia tidak dapat mencari rentak serangan yang memarakkan kempen Piala Dunia mereka di Brazil.

Jaringan Venezuela itu hadir selepas lontaran ke dalam yang memerangkap pemain pertahanan Colombia. Juan Arango membuat sepakan ke kotak penalti kepada Alejandro Guerra, yang menanduk ke belakang ke laluan Rondon.

Penyerang yang berpangkalan di Rusia itu dilaporkan menjadi sasaran perpindahan musim panas bagi kelab–kelab Inggeris, Tottemham dan Liverpool yang membuat tandukan tajam menewaskan penjaga gol Arsenal, David Ospina sebelum dikelilingi oleh rakan sepasukannya.

Colombia terus melakukan serangan memburu jaringan penyamaan tetapi tidak dapat menembusi penjaga gol Venezuela, Alain Baroja.

Baroja mempamerkan dua aksi penyelamat menarik dalam masa beberapa minit, menepis rembatan jarak jauh James sebelum menukar susulan rembatan dari Edwin Cardona di tiang gol.