Venezuela tumpu kepada Piala Dunia

Venezuela tumpu kepada Piala Dunia

SANTIAGO, 10 Jun – Venezuela adalah satu-satunya pasukan Amerika Selatan yang tidak pernah bermain dalam Piala Dunia dan tumpuan jurulatih Noel Sanvicente ialah ke Rusia pada 2018 berbanding Chile bulan ini.

“Saya di sini bukan untuk menang Copa America, saya di sini untuk membawa kami layak (ke Piala Dunia akan datang). Jika tidak, itu merupakan kegagalan,” kata Sanvicente dalam temubual baru-baru ini.

“Saya fikir sudah tiba giliran kami untuk layak ke Piala Dunia. Kami pernah begitu hampir,” tambahnya, mengenang nasib mereka yang begitu hampir ke Piala Dunia dalam dua kempen kelayakan sebelum ini.

pg22_150611_c

Venezuela, di mana bola sepak kurang popular berbanding basebal, selalunya menjadi ‘makanan’ pasukan-pasukan Amerika Selatan yang lain apabila kalah besar sehinggalah akhir-akhir ini.

Venezuela telah banyak meningkat dalam tempoh 10 tahun kebelakangan, dan menunjukkan prestasi terbaik dalam Copa America terakhir di mana mereka layak ke suku akhir, namun mula menunjukkan tanda-tanda persembahan mereka telah tepu.

Barisan pertahanan mereka telah berusia, dengan tiada petunjuk mereka telah mendapat pengganti kepada perancang berusia 35 tahun Juan Arango dan penyerang Salomon Rondon yang semakin kehilangan tempat dalam kesebelasan utama kelab Rusia, Zenit St. Petersburg. Venezuela mampu bermain bola sepak yang lincah tetapi Sanvicente menyedari mereka perlu lebih konsisten.