Ventura bimbing Itali selepas Euro 2016

Ventura bimbing Itali selepas Euro 2016

ROME, 8 Jun – Giampiero Ventura dipilih sebagai ketua jurulatih baharu Itali bagi menggantikan Antonio Conte yang akan menamatkan perkhidmatan selepas berakhirnya Euro 2016, bulan depan. Dia dilantik bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2018, susulan keputusan Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) yang mahukan pengendali berprofil rendah berbanding Conte.

Pelantikan bekas pengendali Torino berusia 68 tahun itu diumumkan oleh Presiden FIGC, Carlo Tavecchio selepas mesyuarat di badan induk bola sepak Itali itu. “Saya kekal dengan keputusan yang dibuat beberapa bulan lalu. Saya memilih Ventura kerana dia ada pengalaman yang luas dan mengajar banyak jurulatih dengan kaedahnya yang inovatif.

“Dia menjadi jurulatih kepada ramai pemain yang beraksi untuk Itali dan berpengalaman luas mengendalikan pemain muda selain memiliki kesetiaan tinggi,” kata Tavecchio.

Ventura bakal menggantikan Conte, 48, yang akan mengendalikan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea selepas tamat Euro 2016 di Perancis, bermula Jumaat ini.

Bagaimanapun, Ventura yang menandatangani kontrak selama dua tahun ini dilihat mencapai kejayaan yang sederhana sepanjang tempoh 30 tahun menjadi pengurus.

 Giampiero Ventura akan bimbing Itali selepas Euro 2016. – AFP
Giampiero Ventura akan bimbing Itali selepas Euro 2016. – AFP

Pencapaiannya terlalu rendah jika dibandingkan dengan Conte apabila dia langsung tiada pengalaman dalam Liga Juara Juara dan hanya menyertai Liga Europa pada 2013-2014 bersama Torino dan mara ke peringkat 16 terbaik.

Dia menyertai Torino pada 2012 selepas mengendalikan Cagliari (1998-1999), Sampdoria (2001-2002), Messina (2005-2006) serta Bari (2009-2011) dan membantu Torino menamatkan saingan Serie A di tangga ke-12 musim lalu.

Pemilihan Ventura yang kurang dikenali di luar Itali membuktikan pasukan kebangsaan yang menjadi juara dunia empat kali itu tidak lagi mampu menarik minat nama-nama besar.

Pengurus terkemuka Itali seperti Massimiliano Allegri (Juventus), Carlo Ancelotti (Bayern Munich), Claudio Ranieri (Leicester), Roberto Mancini (Inter Milan) atau Luciano Spalletti (AS Roma) tidak langsung dilihat sebagai calon sesuai. Nama lain termasuk bekas pengurus Itali yang kini mengendalikan Bologna, Roberto Donadoni; pengendali Albania, Gianni De Biasi, serta Vincenzo Montella yang menguruskan Sampdoria. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA