Ventura pilih pemain muda

Ventura pilih pemain muda

ROM, 24 Ogos – Pengemudi baru skuad Itali Giampiero Ventura kelmarin berkata, beliau akan membentuk skuad Piala Dunia menggunakan pemain muda bagi menggantikan kuda tua pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018 di Rusia.

Itali diundi dalam Kumpulan G bersama Israel, Sepanyol, Albania, Macedonia dan Liechtenstein. Ventura, yang menggantikan Antonio Conte, kini membuka laluan kepada muka baharu Itali untuk mengharungi pusingan kelayakan berkenaan.

Itali ketika ini dibarisi pemain berusia 29 hingga 35 tahun antaranya, pemain pertahanan, Leonardo Bonucci, Giorgio Chiellini dan Andrea Barzagli manakala penjaga gol Gianluigi Buffon, 38, mengesahkan akan bersara daripada pasukan kebangsaan selepas tamat Piala Dunia Rusia.

“Saya mahu dua atau tiga muka baharu yang berusia 21 hingga 23 tahun mengisi tempat sebagai persediaan dalam persiapan selama dua tahun,” kata Ventura.

Ventura akan memilih kesebelasan utama Itali menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa melawan Perancis di Bari pada 1 September ini sebelum menentang Israel pada perlawanan pembukaan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia pada 5 September.

Bekas pengurus Torino itu berterima kasih dengan skuad mantap yang dibentuk oleh Conte dengan menyaksikan skuad Azzuri mara ke suku akhir Euro 2016. – AFP