Vermaelen hero Barca

Vermaelen hero Barca

MADRID, 30 Ogos (AFP) – Thomas Vermaelen muncul wira Barcelona untuk terus mengukuhkan penguasaan La Liga Sepanyol untuk mencatat kemenangan 1-0 ke atas Malaga di Camp Nou, semalam.

Pemain pertahanan Belgium itu menceriakan kem skuad Catalan untuk jaringan tunggalnya pada minit ke-73 selepas hampir tidak beraksi sepenuhnya sepanjang musim lalu disebabkan mengalami kecederaan.

Bekas kapten Arsenal itu nyata menyaingi bintang Barca yang lain seperti Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar yang gagal merobek gawang lawan.

Malah, Neymar yang beraksi pertama kali musim ini turut buntu mencari gol. Tandukan Suarez pada minit ke-4 permainan pula dibatalkan selepas mengasari penjaga gol Malaga, Carlos Kameni.

Malaga mengejutkan Camp Nou apabila mencatat kemenangan 1-0 musim lalu dan kehadiran mereka kali ini hampir mencatat gol pendahuluan menerusi rembatan Juan Carlos dari jarak 60 ela yang hanya beberapa inci tersasar.

Thomas Vermaelen (dua kiri) melompat untuk bersaing dengan Aritz Aduriz dari Athletic Bilbao untuk menanduk bola di stadium San Mames di Bilbao, semalam. – Reuters
Thomas Vermaelen (dua kiri) melompat untuk bersaing dengan Aritz Aduriz dari Athletic Bilbao untuk menanduk bola di stadium San Mames di Bilbao, semalam. – Reuters

Javier Mascherano kelihatan muncul sebagai pemain yang mungkin memecahkan kebuntuan tetapi tandukannya terkena palang.

Penyokong tuan rumah marah kerana pengadil Santiago Jaime Latre menolak dua rayuan penalti selepas tangan Miguel Torres kelihatan terkena bola di dalam kotak sebelum Marcos Angeleri mengasari Suarez.

Kameni kemudian mempamerkan kecemerlangan untuk menafikan percubaan Messi selepas rehat ketika juara Eropah terus kecewa di depan pintu gol.

Namun, untuk semua usaha yang bagus itu, Kameni mengambil sebahagian kesilapan untuk gol kerana dia hanya mampu menangkis hantaran silang Suarez dari kiri dan bola jatuh tepat pada kedudukan Vermaelen untuk merembat dari jarak dekat.