Vettel harap Ferrari beri lebih kuasa

Vettel harap Ferrari beri lebih kuasa

MONTREAL, 5 Jun (AFP) – Tidak terkesan dengan ‘serangan lisan’ daripada supremo Formula Satu (F1) Bernie Ecclestone, Sebastian Vettel memberi isyarat jelas bahawa dirinya amat mengharapkan peningkatan terhadap jentera Ferrari, di sini.

Juara dunia empat kali itu kembali ke litar bagi Grand Prix Kanada, hujung minggu ini dalam usaha untuk merapatkan jurang dengan dua pemandu pasukan Mercedes, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg.

Pelumba kelahiran Jerman itu mengesahkan pasukan dari Itali itu memperkenalkan unit kuasa terbaharu dan berkata dia merasa lebih berpuas hati dengan perkembangan yang dilakukan pasukan itu musim ini.

Malah, Vettel turut tidak menghiraukan kritikan terhadap kemampuannya untuk mempromosi F1 yang dibuat oleh bos komersial perlumbaan elit itu, Ecclestone dengan berkata dia tidak terganggu dengan komen pemimpin veteran itu.

Sebastian Vettel berharap jentera Ferrari beri lebih banyak kuasa. - AFP
Sebastian Vettel berharap jentera Ferrari beri lebih banyak kuasa. – AFP

Tahun lepas, Vettel yang bergelut bersama Red Bull hadir ke Kanada yang menyaksikan rakan sepasukannya, Daniel Ricciardo mencatat kemenangan tunggal.

“Setakat ini bersama Ferrari, dan buat saya, ia lebih baik daripada jangkaan semua orang,” kata Vettel.