Vettel harap Ferrari perbaiki kotak gear

Vettel harap Ferrari perbaiki kotak gear

SILVERSTONE, 10 Julai – Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel menganggap kotak gear menjadi punca kelemahan yang perlu segera diperbaiki pasukan selepas berdepan masalah sama di Grand Prix (GP) British yang menyebabkan dirinya dikenakan penalti grid buat kali kedua berturut-turut.

Juara dunia empat kali itu mengalami masalah kotak gear bermula sejak Jumaat lalu dan semalam, pada sesi kelayakan, pasukan itu turut berdepan isu sama di Litar Silverstone.

“Ia berlaku sejak semalam dan juga hari ini. Itu satu kelemahan dan kami perlu menyelesaikannya,” kata pemandu dari Jerman itu selepas dikenakan penalti lima petak ke belakang dan bakal memulakan perlumbaan dari kedudukan ke-11, malam ini.

“Saya fikir masalah itu sering berulang. Masalah yang kami hadapi semalam dan juga hari ini adalah sesuatu yang baharu dan kami perlu memperbaikinya.”

Vettel berdepan saat yang sukar sejak kebelakangan ini selepas terpaksa menarik diri daripada GP Austria minggu lalu apabila tayar jentera dipandunya pecah ketika sedang mendahului perlumbaan.

Sebastian Vettel terhempas dalam perlumbaan GP Austria baru-baru ini. - AFP
Sebastian Vettel terhempas dalam perlumbaan GP Austria baru-baru ini. – AFP

Pembekal tayar, Pirelli pula menjadikan serpihan yang terdapat di trek perlumbaan sebagai punca kepada kegagalan.

Dalam pada itu, pemandu Jerman itu turut berkata, jentera dipandunya bagai hilang rentak kelajuan di Silverstone tatkala Red Bull kini dilihat sebagai pencabar utama kepada juara bertahan Mercedes apabila Max Verstappen dan Daniel Ricciardo menempah tempat di barisan kedua perlumbaan.

“Saya fikir kami sudah melakukan usaha yang bagus sebelum ini tetapi ia mungkin masih belum memadai sekiranya dibandingkan dengan yang lain.

“Jadi saya fikir masih banyak yang perlu kami perlu lakukan,” kata Vettel yang turut dikenakan penalti grid di Austria, minggu lalu.

“Kami perlu menjadikan jentera ini lebih pantas dan dalam masa sama menjadikan ia lebih berkesan selain menambah sedikit kuasanya.”

Ketika ini, Ferrari berada di tangga kedua keseluruhan musim 2016 namun masih belum memenangi mana-mana perlumbaan dalam kempen kali ini. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA