Vettel intai rekod

Vettel intai rekod

MONZA, Itali, 4 Sept (AFP) – Sebastian Vettel menyasarkan untuk muncul pemandu kedua berjaya memenangi Grand Prix Formula Satu Itali bersama tiga pasukan berbeza, dalam usaha Ferrari memburu kejayaan dalam perlumbaan terakhir kejuaraan dunia di Eropah tahun ini.

Dua minggu selepas insiden dramatik yang melibatkan masalah tayar jentera dipandu Vettel sehingga menguburkan impiannya untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan podium semasa Grand Prix Belgium, juara dunia empat kali itu berhasrat mengulangi pencapaian bekas pelumba Britain, Stirling Moss.

Rekod pencapaian yang telahpun berusia 56 tahun itu dicipta Moss pada 1956, 1957 serta 1959 bersama pasukan Maserati, Vanwall dan Rob Walker Racing.

Vettel merangkul kejayaan sulung dalam perlumbaan F1 di Autodromo Nazionale ketika bersama pasukan Toro Rosso sewaktu bersaing dalam hujan lebat pada 2008 dan kemudiannya melakar dua lagi kemenangan dengan Red Bull pada 2011 serta 2013.

Kini, pelumba Jerman itu berhajat untuk mencatat satu lagi kenangan manis dalam perlumbaan di laman sendiri untuk pasukan Scuderia.

Vettel menghadiri sidang media di Litar Autodromo Nazionale di Monza semalam. – AFP
Vettel menghadiri sidang media di Litar Autodromo Nazionale di Monza semalam. – AFP

Vettel, yang ternyata berang berikutan insiden yang menimpanya di Spa-Francorchamps, telah melemparkan kritikan yang cukup beremosi terhadap pembekal tayar Pirelli.

“Hanya untuk memastikan perkara ini lebih jelas. Pasukan dan saya telah membuat keputusan mengenai strategi perlumbaan secara bersama. Saya penyokong pasukan dan begitu juga mereka yang akan turut berbuat perkara sama. Ini yang akan menjadikan kami sebagai sebuah pasukan.

“Strategi kami tidak pernah mendatangkan risiko. Pasukan tidak seharusnya dipersalahkan. Kami berhak untuk menamatkan perlumbaan di atas podium. Isu ini bukan melibatkan kegagalan kami untuk menamatkan perlumbaan, tetapi apa yang telah berlaku.

“Sebagai pemandu, bukan mudah untuk saya menerimanya, walaupun apa yang berlaku tidaklah seburuk ketika di Silverstone beberapa tahun lalu.

“Tetapi kami masih perlu berkomunikasi antara satu sama lain, kerana insiden tersebut tidak akan berlaku jika amaran diberikan lebih awal,” kata Vettel dalam kenyataannya kepada media.

Sementara perbalahan berhubung arahan Pirelli, yang meminta pasukan melakukan hentian pit hanya sekali dilihat sebagai berisiko, juara bertahan Lewis Hamilton pula berhasrat mengulangi kejayaannya pada 2014 dan memastikan gelaran dunia musim ini terjamin di dalam genggamannya.