Vettel selesa bersama Ferrari

Vettel selesa bersama Ferrari

LONDON, 18 Feb (Agensi) – Sebastian Vettel mengakui bahawa dia tidak mampu memberikan komitmen untuk kekal bersama Ferrari hingga kariernya berakhir, namun menegaskan, buat masa ini dia enggan menukar pasukannya.

Pelumba kelahiran Jerman itu membuat penampilan sulung bersama Toro Rosso sebelum berhijrah ke Red Bull Racing yang mana dia berjaya memenangi empat gelaran dunia sepanjang bersama pasukan yang berpangkalan di Milton Keynes, United Kingdom itu.

Bagaimanapun, Vettel yang menyertai Ferrari pada 2014 tidak mengambil masa lama melakukan impak apabila berjaya memenangi tiga Grand Prix dan menamatkan saingan musim lalu di tempat ketiga.

“Saya tidak bermimpi bahawa musim pertama saya bersama Ferrari berjalan dengan baik.

Vettel (tengah) bersama Kimi Raikkonen (kiri) dan Daniel Ricciardo dalam satu perlumbaan yang lalu. – Reuters
Vettel (tengah) bersama Kimi Raikkonen (kiri) dan Daniel Ricciardo dalam satu perlumbaan yang lalu. – Reuters

“Bagi saya, Ferrari sentiasa menjadi istimewa dan sejak kecil lagi, saya mahu bersama pasukan ini,” katanya.

Ketika ditanya adakah dia akan menamatkan kariernya bersama pasukan yang dikenali sebagai ‘Scuderia’ itu, Vettel memberitahu, “Mungkin tetapi saya tidak tahu kerana apa sahaja boleh berlaku pada masa akan datang.

“Namun, saya bukanlah seorang yang suka berhijrah daripada satu pasukan ke pasukan yang lain.

“Saya tidak akan berbuat demikian dan buat masa ini, saya berasa selesa bersama Ferrari. Kami memiliki beberapa persamaan dan berharap dapat melaksanakannya pada musim ini.”