Vettel tawan GP Brazil

SAO PAULO, 13 Nov – Sebastian Vettel kembali bangkit dari kekecewaan kejuaraan dunia dengan bergaya awal pagi tadi apabila memenangi Grand Prix Brazil untuk Ferrari.

Juara empat kali itu mendahului kedudukan pada awal perlumbaan dan selain dari tempoh itu membuat perhentian pitnya, mengawal perlumbaan yang penuh dengan insiden kemalangan untuk menamatkan 2.8 saat di depan Valtteri Bottas dari Mercedes.

Kimi Raikkonen, juara 2007, berjaya mengekang cabaran lewat dari juara empat kali yang baru dimahkotakan, Lewis Hamilton untuk bertahan di kedudukan ketiga di depan pemandu kedua dari Mercedes itu, yang memulakan perlumbaan dari lorong pit.

Max Verstappen dari Belanda berada di kedudukan kelima di depan rakan sepasukannya dari Red Bull, Daniel Ricciardo dari Australia dan wira yang mahu bersara, Felipe Massa, berada di tangga ketujuh bagi pasukan Williams dalam perlumbaan terakhir di bandar kediamannya.

Pemandu dari Brazil itu muncul pemenang dengan persaingannya tersendiri menuju garisan penamat mengatasi juara dua kali Fernando Alonso dari McLaren Honda yang menamatkan kedudukan kelapan.

Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel (tengah) meraikan kejayaannya di atas podium dengan melambungkan trofinya, sambil disaksikan oleh Valtteri Bottas (kiri) dari Mercedes dan pemandu kedua Ferrari, Kimi Raikkonen di litar Interlagos, Brazil. – AFP

Sergio Perez menamatkan kedudukan kesembilan bagi pasukan Force India dan Nico Hulkenberg di kedudukan ke-10 bagi Renault.

Ia adalah kemenangan pertama Vettel dalam lapan perlumbaan sejak Grand Prix Hungary pada Julai lalu dan kelimanya musim ini. Ia juga adalah kemenangan pertama Ferrari di Brazil sejak 2008.

“Ia adalah beberapa minggu yang sukar bagi kami, tetapi ia menarik untuk menyaksikan kedua buah kereta di atas podium di sini,’ kata Vettel.

“Saya terlepas dengan baik dan kemudian saya mengalami ‘wheelspin’, jadi saya rasa saya terlepas peluang tetapi saya rasa Valtteri mengalami perkara yang sama jadi saya mengejutkannya.

“Saya mahu melebarkan jurang dan kemudian mengawal perlumbaan dari sana dan ia berkesan.”

Bottas mengakui: “Tujuan saya adalah untuk menang jadi ia begitu mengecewakan. Kami kehilangannya pada awal perlumbaan. Selepas itu ia begitu sengit. Saya cuba untuk meletakkan tekanan ke atas Sebastian, tetapi ia tidak berlaku. Lewis melakukan kebangkitan hebat untuk mencatatkan mata.” – AFP