VFAST hulur bantuan

VFAST hulur bantuan

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 12 Jun – Rombongan sukarelawan daripada Kumpulan VFAST, hari ini, telah bergotong-royong membersihkan persekitaran kawasan Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria di samping menyampaikan sumbangan bantuan sebagai aktiviti amal di bulan Ramadan.

Hampir 20 orang ahli kumpulan sukarelawan tersebut yang diketuai Awang Mohd Mazni Latif bin Abdullah, menyertai aktiviti berkenaan yang merupakan projek kerja amal tahunan mereka bersempena bulan Ramadan.

Awang Mohd Mazni Latif berkata, VFAST (Voluntary First Aid Support) melakukan kerja amal secara berterusan, dan projek lawatan ke Rumah Orang-orang Tua itu merupakan kali kedua dilakukan, bertujuan menyuntik semangat keprihatinan terhadap warga emas dalam kalangan ahli-ahlinya yang terdiri daripada ramai golongan belia.

“Kerja amal hari ini bersempena bulan Ramadan, bagaimanapun kami turut melakukannya bersempena sambutan Tahun Baru Cina dan sebagainya, memandangkan ahli-ahli sukarelawan kami terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan peringkat usia,” katanya kepada Media Permata.

Beliau menambah, penubuhan kumpulan sukarelawan tersebut adalah untuk menggalakkan ahli-ahlinya terutama sekali dalam kalangan para belia mendekatkan diri dengan kerja-kerja kemasyarakatan serta membantu masyarakat yang memerlukan, termasuklah memeduli kalangan warga emas.

Hampir 20 orang ahli Kumpulan VFAST melaksanakan projek kerja amal di Rumah Orang-orang Tua di Seria kelmarin.
Hampir 20 orang ahli Kumpulan VFAST melaksanakan projek kerja amal di Rumah Orang-orang Tua di Seria kelmarin.
Max Jason semasa menyampaikan sampul hijau kepada penghuni Rumah Orang-orang Tua di Seria.
Max Jason semasa menyampaikan sampul hijau kepada penghuni Rumah Orang-orang Tua di Seria.

Menurutnya, VFAST juga sering mengadakan projek sukarelawan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lainnya, dan daripada kesepaduan itu mereka dapat bertukar-tukar fikiran, dan mengenali antara satu sama lain, di samping menerbitkan rasa kasih sayang dengan mereka yang dihulurkan bantuan.

Sementara itu, Max Jason, salah seorang sukarelawan VFAST memberitahu bahawa beliau berminat menyertai projek ini, untuk menyumbangkan kerja berkebajikan dan atas rasa keprihatinannya kepada golongan warga emas.

Di samping itu juga untuk menggalakkan rakan-rakan dalam kalangan belia untuk turut sama terlibat dalam kerja-kerja sukarelawan membantu masyarakat yang memerlukan di negara ini.

“Kami kadang-kadang mendapat tahu tentang masyarakat yang memerlukan bantuan, daripada kawan-kawan, selain mengetahuinya daripada viral media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.

“Saya gembira dengan ada-nya badan ini, saya mempunyai pelantar untuk menyumbangkan kerja berkebajikan dan saya berharap akan lebih ramai lagi rakan-rakan dalam kalangan belia yang berminat menyertai aktiviti seperti ini,” ujarnya lagi.

Apabila ditanya, dari mana VFAST mendapatkan sumber bagi keperluan menyumbang bantuan kepada masyarakat yang memerlukan, Awang Mohd Mazni Latif menjelaskan, ia adalah sumbangan melalui kutipan sukarela daripada ahli-ahli mereka selain terdapat juga huluran bantuan daripada individu yang mengenali mereka dan ingin terlibat dalam menghulurkan sumbangan.

Dalam pada itu, beliau melahirkan harapan supaya para belia tidak memilih aktiviti yang diadakan, terutama sekali dalam membuat aktiviti kemasyarakatan, kerana menurutnya keuntungan melakukan kerja-kerja sukarelawan memang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi ia akan dibalas Allah dengan kebajikan dan ganjaran pahala berlipat ganda.

ARTIKEL YANG SAMA