Vidal berdepan dakwaan baharu

Vidal berdepan dakwaan baharu

SANTIAGO, 25 Jun (AFP) – Bintang bola sepak Chile Arturo Vidal, yang ditahan minggu lalu kerana memandu dalam pengaruh alkohol sehingga terlibat dalam kemalangan bersama kereta Ferrari beliau akan menghadapi tuduhan baru mengancam seorang anggota polis, sumber kehakiman berkata semalam.

Sumber memberitahu pemain tengah Juventus itu akan dituduh pada 8 Julai untuk dakwaan tambahan mengancam Timbalan Sarjan Osvaldo Pezoa selepas kereta sport merahnya terdampar di pinggir Santiago selepas pulang malam dari kasino.

Vidal, yang kini sedang beraksi untuk Copa America, dilihat mengancam dan terlibat dalam konfrontasi dengan pegawai yang melakukan tangkapan selepas itu.

“Teruskanlah dan gari saya, tetapi anda akan mengecewakan seluruh Chile,” kata-katanya boleh didengar dalam satu rakaman video amatur yang telah disiarkan oleh stesen radio Santiago Bio Bio.

Lesen Vidal telah digantung selama tempoh siasatan 120 hari selepas kemalangan itu yang turut mencederakan isterinya.

Vidal (tengah) semasa menghadiri perbicaraannya di San Bernardo 17 Jun lalu. – Reuters
Vidal (tengah) semasa menghadiri perbicaraannya di San Bernardo 17 Jun lalu. – Reuters

Selepas menghabiskan masa semalaman di dalam penjara, beliau dibebaskan dengan syarat perlu melaporkan diri kepada konsulat Chile di Milan setiap bulan.

Lesennya boleh digantung sehingga dua tahun jika sabit kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dan berdepan hukuman penjara 61 hari jika sabit kesalahan mengancam seorang pegawai.

Vidal, yang menangis semasa membuat permohonan maaf dalam sidang media selepas kemalangan itu, masih diberikan tempat di dalam skuad Chile dan bermain dalam pasukan tuan rumah semasa membelasah Bolivia 5-0 Jumaat untuk sampai ke suku akhir.

ARTIKEL YANG SAMA