Vidal ditangkap

Vidal ditangkap

SANTIAGO, 17 Jun (AFP) – Bintang bola sepak Chile Arturo Vidal telah ditangkap kerana memandu dalam keadaan mabuk semalam selepas terlibat dalam satu kemalangan dengan kereta Ferrarinya di pinggir Santiago, kata polis.

Pemain tengah Juventus itu yang sedang membintangi harapan untuk memenangi Copa America di tanah airnya sendiri mengalami kecederaan ringan.

Isteri beliau, yang juga berada di dalam kereta sukan berwarna merah itu juga mengalami ‘kecederaan sederhana yang serius’, kolonel polis Ricardo Gonzalez memberitahu pemberita.

“Oleh kerana dia telah memandu di bawah pengaruh alkohol… (Vidal) telah ditahan,” kata Gonzalez. Beliau enggan membincangkan tahap alkohol dalam badan Vidal.

Maklumat segera kemalangan itu amat terhad tetapi pegawai berkata kereta Vidal telah berlanggar dengan kenderaan lain. Pemain ini memuatkan mesej video pendek di YouTube di mana beliau cuba untuk meyakinkan peminatnya.

Kereta Arturo Vidal tersadai di Buin selepas hilang kawalan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol. – AFP
Kereta Arturo Vidal tersadai di Buin selepas hilang kawalan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol. – AFP

“Hari ini saya mengalami kemalangan kereta. Bukan salah saya. Saya OK, keluarga saya pun OK. Terima kasih untuk segala-galanya,” kata Vidal sambil memberikan tanda bagus.

Beberapa pengguna Twitter berkongsi gambar yang mereka katakan sebagai kereta Vidal yang remuk di sebelah pemandu dengan beg keselamatan nampak berfungsi.

Tidak diketahui bagaimana penangkapan Vidal itu akan menjejaskan penyertaannya dalam kejohanan Copa America.

Vidal, 28, yang bermain untuk Juventus, adalah salah seorang bintang terbesar bola sepak Chile dan seorang pemain utama Chile untuk memenangi Copa America.

Beliau merupakan penjaring gol terbanyak kejohanan selepas menjaringkan penalti kemenangan aksi pembukaan menentang Ecuador Khamis lalu sebelum menjaringkan dua gol ketika seri 3-3 dengan Mexico di Santiago, Isnin lalu.