Vidal jalani ujian perubatan

Vidal jalani ujian perubatan

BERLIN, 28 Julai (AFP) – Bintang tengah Chile, Arturo Vidal di ambang untuk melengkapkan perpindahannya dari Juventus ke Bayern Munich selepas menaiki penerbangan ke Bavaria untuk menjalani ujian perubatan, hari ini.

Pemain berusia 28 tahun itu memaparkan gambarnya bersama ejennya, Fernando Felicevich di laman sosial Twitter di dalam kapal terbang dan menulis: “Tahap yang baharu… impian baharu… saya datang Munich.”

Vidal dijangka tidak bermasalah untuk melepasi ujian sekali gus melengkapkan kontraknya dengan Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge mengesahkan pihaknya sudah bersetuju dengan juara Serie A Itali itu mengenai yuran perpindahan, Khamis lalu.

Dianggap antara pemain utama Juventus yang melangkah ke final Liga Juara-Juara Eropah musim lepas, Vidal dijangka mengisi kekosongan di bahagian tengah Bayern yang kosong selepas perpindahan kapten Jerman, Bastian Schweinsteiger yang menyertai Manchester United.

Ia penampilan kedua Vidal di Bundesliga selepas pernah menghabiskan empat musim bersama Bayer Leverkusen dari musim 2007-2011.

Arturo Vidal bakal melengkapkan perpindahannya dari Juventus ke Bayern Munich apabila menjalani ujian perubatan hari ini. – AFP
Arturo Vidal bakal melengkapkan perpindahannya dari Juventus ke Bayern Munich apabila menjalani ujian perubatan hari ini. – AFP

Ketika final Copa America awal bulan ini, Vidal antara pemain Chile yang melengkapkan penalti yang membawa kepada kemenangan 4-1 tuan rumah.

Begitupun, kempennya pada Copa America dibayangi insiden kemalangan membabitkan kereta mewah Ferrari miliknya dengan dakwaan memandu secara mabuk di ibu negara Chile, Santiago.

Isterinya yang turut berada dalam kenderaan terbabit mengalami kecederaan ringan.

Bayern yang juga juara Bundesliga Jerman baharu sahaja melengkapkan sesi jelajah pra-musim di China dan akan memulakan kempen baharu bertemu Hamburg di laman sendiri pada 14 Ogos depan.