Vidal janji ‘sopan’ lawan bekas kelab

Vidal janji ‘sopan’ lawan bekas kelab

MILAN, 23 Feb (Reuters) – Perancang tengah Bayern Munich, Arturo Vidal berjanji tidak akan meraikan jaringan sekiranya dia meledak gol ketika berdepan bekas kelab lamanya Juventus dalam pertembungan 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu.

Bintang antarabangsa Chile itu menghabiskan empat musim di Juventus termasuk membantu The Bianconeri meraih empat gelaran Serie A dan satu Piala Itali sebelum menyertai Bayern pada tahun lalu.

Dia juga sempat merasai pengalaman beraksi di pentas final Liga Juara-Juara bersama Juventus musim lalu.

Awal pagi ini, Vidal akan berdepan Juventus serta bekas rakan sepasukannya dalam pertembungan pertama 16 terakhir Liga Juara-Juara di Turin.

“Ia akan menjadi perlawanan sangat istimewa kerana Juventus banyak berjasa dan saya sangat berterima kasih kepada mereka,” kata Vidal.

“Saya mengharungi tempoh empat tahun yang menakjubkan di sana. Saya berasakan seperti di rumah sendiri. Penyokong dan kelab sangat menyokong saya. “Saya mengakui, saya begitu merindui Juventus,” kata Vidal.

“Tetapi kini saya mempertahankan baju dan warna Bayern, dan saya akan memberi yang terbaik untuk memastikan kami memenangi kedua-dua perlawanan ini untuk mara ke suku akhir.”

Sebagai rekod, lapan pertemuan lalu lebih memihak kepada Bayern yang mencatat empat kemenangan berbanding Juventus tiga.

Malah gergasi Jerman itu turut menang dalam tiga pertemuan terakhir membabitkan kedua-dua pasukan.

Sementara itu, pemain pertahanan Juventus Andrea Barzagli berkata, “Kita tahu bahawa Bayern adalah salah satu daripada tiga pasukan terbaik di dunia, tetapi kami bermain di tempat sendiri dan di Stadium Juventus akan memberikan kami semangat sebenar.”

“Setiap pasukan mempunyai kelemahan dan ia adalah tugas kami untuk mencari mereka.”