Vidal milik Bayern

Vidal milik Bayern

BERLIN, 29 Julai (AFP) – Arturo Vidal melengkapkan perpindahan ke Bayern Munich selepas mencapai persetujuan perpindahan sebanyak 28 juta pound bersama Juventus.

Pemain antarabangsa Chile itu lulus dalam ujian kesihatan sebelum berpindah ke kelab juara Jerman itu dan turut bersama pengarah kelab Matthias Sammer ketika sidang media awal pagi Rabu.

“Ia seperti mimpi menjadi kenyataan berada di sini. Saya mahu menjulang trofi Liga Juara-Juara. Saya berasa lebih matang, dan mahu menambat hati penyokong-peyokong Bayern.

“Di Chile, mereka (penyokong) amat berbangga apabila saya menyertai kelab besar. Saya berharap dapat membuatkan semua orang gembira, dan akan cuba melakukan yang terbaik, malah akan memberi komitmen seperti mana ketika berada di Juventus.

“Saya bersedia untuk bermain dalam Piala Super Sabtu ini, namun kita akan lihat. Saya lebih suka bermain di bahagian tengah, tetapi jurulatih (Pep Guardiola) akan menentukan posisi saya nanti.

Vidal (kiri) dan Matthias Sammer memberikan pose kepada wartawan semasa diperkenalkan kepada media di Munic semalam. - AFP
Vidal (kiri) dan Matthias Sammer memberikan pose kepada wartawan semasa diperkenalkan kepada media di Munic semalam. – AFP

“Saya memilih Juve pada tahun 2011 untuk diri sendiri dan juga keluarga. Kini saya sudah bersedia dengan pengalaman untuk bermain dengan kelab seperti Bayern,” tambah Vidal.

Dalam pada itu, Vidal yang yakin dia tidak perlu mengubah cara permainannya berkata: “Saya tidak fikir perlu mengubah gaya permainan, saya menimba pengalaman bermain di Itali sekaligus meningkat kualiti diri.

“Bayern adalah satu satu dari tiga kelab terkemuka di dunia. Saya mahu bagi seratus peratus komitmen, itu yang paling penting. Saya menghormati mereka yang mahukan saya berada di sini,” jelasnya.

Vidal menandatangani kontrak selama empat tahun bersama Bayern. Pemain berusia 28 tahun ini menggantikan Bastian Schweinsteiger di Bayern selepas kapten itu berpindah ke Manchester United musim baharu nanti.

Ketika di Juventus, Vidal telah membantu kelab itu mencatat kejayaan empat trofi Serie A. Dia pernah menyertai kelab Jerman sebelum ini bersama Bayer Leverkusen di antara tahun 2007 dan 2011, dan mempamerkan 117 penampilan bersama Bundesliga serta meledak 15 gol keseluruhan.