Vidal perlu kerja keras, kata Sanchez

Vidal perlu kerja keras, kata Sanchez

SANTIAGO, 19 Jun (AFP) – Bintang Chile, Alexis Sanchez mengingatkan rakan sepasukannya, Arturo Vidal yang mencipta aib kerana mabuk supaya ‘lebih kerja keras’ pada perlawanan Copa America menentang Bolivia, awal pagi ini.

Vidal ditahan dan didakwa oleh polis, Selasa lalu selepas terbabit dalam kemalangan ketika memandu kereta Ferrari miliknya akibat mabuk, namun sudah dibebaskan dan kembali berlatih bersama skuad Chile.

Sanchez yang juga bintang Arsenal ketika sidang media mendedahkan sudah memberi nasihat berguna kepada pemain tengah Juventus itu jika dia mahu menambat kembali hati peminat bola sepak negaranya.

“Saya memberitahu kepadanya, ‘Kini Arturo, kamu perlu lebih bekerja keras,” Sanchez dalam laman sosial Twitter miliknya kemudian memberi kata-kata sokongan kepada Vidal dengan berkata, “Kami semua sentiasa di belakang kamu.”

Vidal, 28 terbabit dalam kemalangan itu lewat Selasa lalu, ketika dia bersama isterinya, Maria Teresa Matus sedang dalam perjalanan pulang daripada sebuah kasino.

Jurulatih Chile, Jorge Sampaoli (kanan) mengadakan sidang akhbar bersama Alexis Sanchez (kiri) di Stadium Nasional di Santiago, semalam. – AFP
Jurulatih Chile, Jorge Sampaoli (kanan) mengadakan sidang akhbar bersama Alexis Sanchez (kiri) di Stadium Nasional di Santiago, semalam. – AFP

Sehari selepas itu, dia kemudian membuat permohonan maaf dengan linangan air mata kepada rakan sepasukannya kerana insiden terbabit dan berkata akan mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap kemalangan itu.

“Saya mengecewakan semua orang. Saya mahu memberitahu kamu semua apa yang berlaku. Semalam, saya pulang dari kasino, saya mengambil dua minuman.

“Saya meletakkan isteri saya dalam risiko, orang lain turut berisiko. Saya benar-benar meminta maaf,” katanya.

Vidal muncul peledak utama dalam kempen Chile pada temasya Copa America 2015, apabila setakat ini sudah menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan, untuk sekali gus mendahului senarai penjaring terbanyak.