Vidal sertai Bayern

Vidal sertai Bayern

TURIN, 22 Julai – Ketua Pengarah Juventus, Giuseppe Marotta mengesahkan pemain tengah, Arturo Vidal akan meninggalkan pasukan yang berpangkalan di Turin itu.

Pengesahan tersebut dibuat selepas Bayern Munich bersetuju membayar yuran perpindahan sebanyak 27.8 juta pound bagi mendapatkan khidmat bintang Chile itu.

Vidal yang menyertai Juventus daripada Bayer Leverkusen pada 2011 memainkan peranan utama dalam kejayaan Juventus.

Ia termasuk kejayaan membantu skuad The Old Lady itu menjuarai Serie A Itali sebanyak empat kali serta membantunya layak ke pentas final Liga Juara-Juara musim lalu. Bagaimanapun Marotta berkata, tonggak tengah berusia 28 tahun itu bakal menjadi pemain keempat yang meninggalkan kelab gergasi Itali tersebut.

“Vidal telah menyatakan hasratnya untuk meneroka pengalaman baharu di tempat lain sama seperti dilakukan Angelo Ogbonna, Carlos Tevez dan Andrea Pirlo,” ujar Moratta.

Vidal meninggalkan Juventus untuk menyertai Bayern musim depan. – Reuters
Vidal meninggalkan Juventus untuk menyertai Bayern musim depan. – Reuters

Serentak perpindahan Vidal ke Bavaria, Juventus dikatakan sedang cuba mendapatkan persetujuan Bayern Munich untuk melakukan pertukaran dengan Mario Gotze.

Marotta menjelaskan, Juventus tidak pernah membuka rundingan untuk mendapatkan Gotze sebagai syarat perpindahan Vidal ke Bavaria bagi menyertai Bayern Munich.

“Gotze kekal sebagai pemain Bayern dan kami tidak pernah berbincang mengenainya. Tujuan utama kami adalah mahu melengkapkan pasukan supaya lebih bersedia mengharungi musim baharu.

“Sudah tentu kami ingin mengekalkan kejayaan tetapi kami tetap gembira kerana Juventus dibarisi pemain pelbagai lapisan usia,” katanya. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA