Video baru cetus rasa meluat

Video baru cetus rasa meluat

SYDNEY, 17 Julai – Australia hari ini berkata, ia ‘merasa meluat’ selepas video baru muncul yang menunjukkan pemberontak-pemberontak yang disokong Rusia menyelongkar bagasi para penumpang yang terbunuh selepas penerbangan MH17 ditembak jatuh di Ukraine, ketika upacara memperingati tahun pertama bencana itu.

Video itu diperolehi oleh Daily Telegraph, Sydney dan dikeluarkan tepat setahun selepas pesawat udara Malaysia Airlines meletup di ruang udara ketika penerbangan rutin antara Amsterdam dan Kuala Lumpur.

Kesemua 298 orang penumpang dan anak buah pesawat Boeing 777 terbunuh, majoriti mereka warga Belanda, tetapi dengan 38 warganegara dan penduduk Australia antara mereka itu.

“Rasa meluat untuk melihat dan 12 bulan sejak penembakan jatuh MH17 adalah begitu mengganggu bahawa video ini muncul kini,” Menteri Luar Julie Bishop memberitahu Nine Network, tanpa dapat mengesahkan kesahan video.

“Sudah pasti konsisten dengan nasihat perisikan yang kami terima 12 bulan lalu, bahawa penerbangan MH17 Malaysia Airlines telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu dari permukaan ke udara,” tambahnya.

Surat khabar itu mendakwa video itu yang menurut telah diseludup keluar dari pangkalan Donetsk para pejuang dan hanya diperolehi minggu ini, dirakam oleh pemberontak-pemberontak sendiri ketika mereka merakam apa yang pada awalnya mereka percaya adalah jet pejuang pasukan tentera udara Ukraine yang telah mereka tembak jatuh.

Video itu merakamkan rasa terkejut mereka apabila mereka mengetahui pesawat udara itu adalah kapal terbang komersial. Video itu juga memperlihatkan lelaki-lelaki, memegang senapang dan berpakaian penyamaran tentera, merayau-rayau di antara bangkai kapal terbang yang ditembak jatuh, membalik-balik kandungan beg dan menyelerakkan kandungan daripada beg di atas tanah.

Transkrip komentar video yang disiarkan, diterjemahkan daripada bahasa Rusia dan Ukraine kepada bahasa Inggeris menunjukkan mereka mencari bukti siapa yang berada dalam pesawat itu. Akhbar itu melaporkan dalam satu gambar, seorang lelaki mengenakan pada lehernya tag pengenalan yang jelas dilihat dari kumpulan yang mengisytiharkan dirinya Republik Rakyat Donetsk. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA