Video IS bunuh tentera tersebar

Video IS bunuh tentera tersebar

DAMSYIK, 6 Julai (AFP) – Kumpulan militan Negara Islam (IS) kelmarin menyebarkan sebuah klip video memaparkan berpuluh-puluh tentera kerajaan Syria dihukum mati oleh sekumpulan remaja di panggung terbuka purba di kota Palmyra.

Klip Video tersebut merakamkan pembunuhan yang dilaporkan berlaku tidak lama selepas IS menawan Palmyra pada 21 Mei lalu. Rakaman itu memaparkan 25 anggota tentera Syria ditembak mati di hadapan bendera IS.

Pelaksana hukuman mati itu rata-ratanya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja yang memakai bandana berwarna coklat.

Hukuman mati itu dilaksanakan di hadapan sejumlah kecil penonton lelaki serta beberapa kanak-kanak yang berada di tempat duduk panggung berkenaan.

IS dilaporkan melaksanakan lebih 200 hukuman mati termasuk ke atas penduduk awam di dalam dan sekitar Palmyra sejak menawan kota purba tersebut.

Satu video telah tersebar menunjukkan IS melaksanakan hukuman bunuh terhadap tentera Syria. – AFP
Satu video telah tersebar menunjukkan IS melaksanakan hukuman bunuh terhadap tentera Syria. – AFP

Hukuman mati di panggung terbuka Palmyra pertama kali dilaporkan Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Britain pada 27 Mei lalu, hampir seminggu selepas IS menawan kota tersebut.

Ketika itu, Pengarah Antikuiti Syria, Mamoun Abdelkarim menyatakan beliau bimbang pembunuhan tersebut menandakan bermulanya kekejaman IS di Palmyra.

Setakat ini, belum ada laporan IS merosakkan tinggalan purba di Palmyra tetapi kumpulan itu telah meletupkan dan merosakkan beberapa kubur orang Islam dan memusnahkan patung purba di hadapan sebuah muzium di kota itu.

ARTIKEL YANG SAMA