Video UBD menang anugerah gangsa

Video UBD menang anugerah gangsa

pg07_150507_a

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah memenangi Anugerah Gangsa bagi Video Institusi Korporat Paling Kreatif pada QS-MAPLE ke-5 anjuran QS Asia Quacquarelli Symonds bagi pihak QS Education Trust dalam majlis yang telah diadakan di Doha, Qatar, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UBD, di sini, hari ini, video kemenangan bertajuk ‘Colours of UBD’ itu memperlihatkan kehidupan di Brunei Darussalam dan elemen-elemen orang, pendidikan, keusahawanan, inovasi dan penyelidikan di UBD.

Ia dihasilkan oleh mahasiswa-mahasiswa tahun akhir jurusan Komunikasi Profesional dan Media, iaitu Awangku Amali bin Pengiran Haji Roslin dan Awang Abu Hurairah bin Haji Mohammad, seorang ahli Persatuan Alumni UBD, seorang graduan jurusan Komunikasi Profesional dan Media.

Hadir pada majlis yang diadakan di Qatar itu dan menerima anugerah bagi pihak UBD ialah Timbalan Naib Canselor UBD, Profesor Madya Dr Azman Ahmad.

Ketika menerima anugerah itu, Dr Azman berkata memenangi anugerah ini adalah satu pencapaian yang luar biasa bagi UBD dalam perjalanannya menuju Visi 2015.

“Ini bukan hanya satu pengiktirafan terhadap rekaan kreatif dan menarik |UBD dalam inisiatif-inisiatif komunikasi efektif dan pembangunan jenama, ia juga menunjukkan bakat-bakat Brunei boleh mencapai ke luar negara begitu juga dengan keupayaan kami untuk bersaing di arena antarabangsa,” ujarnya.

UBD dalam kenyataannya menyatakan, melalui kurikulum GenNEXT yang meluas dan merentas disiplin, UBD mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk para pelajarnya meneroka bakat-bakat mereka menerusi pembelajaran amali.

Bagi memupuk bakat-bakat kreatif dan kemahiran inovatif mahasiswa, UBD telah membangunkan pelbagai platform bagi para mahasiswa mempamerkan potensi mereka dalam festival-festival dan acara di kampus.

Menurut kenyataan itu lagi, pada tahun lalu UBD termasuk dalam ranking QS 50 terbaik di Asia dalam lima daripada sembilan kriteria, iaitu pertukaran pelajar ke luar dan ke dalam negara, fakulti antarabangsa, pelajar antarabangsa, dan nisbah pelajar fakulti.

Dua daripada kriteria itu (pertukaran pelajar ke luar negara dan fakulti antarabangsa) berada dalam ranking 10 teratas, dan secara keseluruhannya, UBD mencatatkan 171-180.

QS Asia adalah anak syarikat serantau QS Quacquarelli Symonds, yang merupakan rangkaian terkemuka di dunia bagi kerjaya dan pendidikan terbaik.

Diasaskan pada 1990, QS adalah penghasil Ranking Universiti Dunia QS dan Ranking Universiti QS: Asia yang sangat dihormati, dan diakui sebagai pertubuhan pendidikan bebas yang meningkatkan standard pendidikan tinggi global.

ARTIKEL YANG SAMA