Vietjet tawar 50,000 tiket percuma

Vietjet tawar 50,000 tiket percuma

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) – Syarikat penerbangan tambang rendah Vietnam, Vietjet Air, menawarkan 50,000 tiket promosi serendah RM0 sempena pelancaran laluan antarabangsa terbaharunya yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Ho Chi Minh City, Vietnam pada 1 Jun.

Naib Presiden Vietjet, Nguyen Thi Thuy Binh, berkata pelancaran laluan baharu itu merupakan sebahagian daripada pelan induk untuk meningkatkan operasinya di Asia Tenggara.

“Kami akan menyediakan satu penerbangan harian bagi sektor Kuala Lumpur – Ho Chi Minh, dan merancang meningkatkan kekerapan dalam tempoh tiga bulan berdasarkan permintaan pasaran,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman laluan baharu berkenaan.

Mengulas mengenai cadangan menaikkan fi penerbangan oleh Jabatan Penerbangan Awam, Nguyen berkata syarikat penerbangan berkenaan belum menerima sebarang makluman rasmi mengenai dasar baharu terbabit.

“Jika dasar itu dilaksanakan, kami akan membincangkannya dengan pihak berkuasa mengenai kaedah untuk menjadikan cajnya berpatutan bagi mengekalkan manfaat kepada penumpang kami,” katanya. Nguyen berkata syarikat penerbangan itu merancang menambah 10 pesawat lagi menjadikan 45 pesawat.

Vietjet telah menerbangkan lebih 20 juta penumpang setakat ini sejak ia memulakan operasi pada 2011.

Tambang promosi itu mulai hari ini hingga 18 April, 2016, boleh ditempah menerusi www.vietjetair.com dan sah untuk tempoh perjalanan dari 1 Jun hingga 30 Okt 2016.

ARTIKEL YANG SAMA