Vietnam, AS bincang kerjasama ketenteraan

Vietnam, AS bincang kerjasama ketenteraan

HANOI, 1 Jun (Reuters) – Setiausaha Pertahanan AS Ash Carter membincangkan gesaannya bagi penamatan pembinaan bangunan di Laut China Selatan ketika rundingan hari ini, dengan rakan sejawatannya dari Vietnam, yang memberitahu sidang media bahawa Vienam tidak meluaskan kepulauannya.

Carter dan Menteri Phung Quang Thanh juga menandatangani Kenyataan Wawasan Bersama untuk memandu kerjasama ketenteraan akan datang antara kedua-dua bekas musuh itu, yang pernah terlibat dalam peperangan 1955-1975 dan hanya menjalinkan hubungan baik 20 tahun lalu.

Sebagai sebahagian usaha meluaskan kerjasama, Carter mengumumkan AS akan membantu Vietnam mewujudkan tapak untuk melatih tenteranya untuk terlibat dalam operasi pengaman PBB dan akan menghantar seorang pakar AS berhubung pengaman ke kedutaan AS di Hanoi.

Semalam, Carter telah melawat ibu pejabat tentera laut Vietnam dan ibu pejabat pengawal pantai dan menjanjikan $18 juta untuk membantu Vietnam membeli bot peronda AS.

Carter, yang dalam lawatan keduanya ke Asia sejak menjadi setiausaha pertahanan awal tahun ini, telah menggesa negara-negara di rantau itu supaya menghentikan usaha membina pulau di rantau kaya sumber Laut China Selatan yang dipertikaikan itu.

Carter dan Phung Quang Thanh (kiri) memeriksa barisan kehormat semasa upacara mengalu-alukan kedatangan Carter di Kementerian Pertahanan di Hanoi, Vietnam, 1 Jun. – Reuters
Carter dan Phung Quang Thanh (kiri) memeriksa barisan kehormat semasa upacara mengalu-alukan kedatangan Carter di Kementerian Pertahanan di Hanoi, Vietnam, 1 Jun. – Reuters

Dia mengulangi gesaan itu pada persidangan keselamatan Dialog Shanghri-La Sabtu lalu, dan membincangkannya dengan Thanh ketika rundingan mereka hari ini.

Carter memberitahu sidang mesyuarat Shangri-La, China mengancam keselamatan di rantau itu dengan pembinaan maritim tetapi mengakui negara-negara lain yang menuntut laut dipertikaikan itu juga salah.

“Vietnam baru-baru ini melakukan pengukuhan ke atas kepulauan di bawah pemerintahan Vietnam,” Thanh memberitahu para pemberita kemudian, dengan menegaskan bahawa pasukan tentera Vietnam telah ditempatkan di sembilan buah pulau terapung dan 12 pulau tenggelam di rantau itu.

“Di kepulauan terapung, kami telah melakukan pengukuhan untuk menghalangnya dari ombak dan hakisan, untuk memastikan keselamatan bagi penduduk dan tentera yang ditempatkan di kepulauan itu,” katanya. “ Di kepulauan tenggelam kami hanya membina beberapa buah rumah kecil, yang boleh menempatkan beberapa orang dan kami tidak melakukan perluasan. Skop dan ciri kerja kami semata-mata awam.”

Kepulauan tenggelam mempunyai terumbu dalam air, manakala kepulauan terapung adalah pulau yang mempunyai permukaan di atas permukaan air atau yang boleh dibina dari kepulauan tenggelam dengan menambah struktur keluli, tanah, batu besar dan konkrit.