Vietnam batal majlis memperingati perang Australia

Vietnam batal majlis memperingati perang Australia

SYDNEY, 17 Ogos – Vietnam hari ini telah membatalkan majlis memperingati yang telah lama diaturkan bagi perajurit perang Australia, dalam langkah yang disifatkan oleh Canberra sebagai ‘tamparan hebat’ dan ia mahu keputusan itu diubah.

Lebih 1,000 perajurit dan keluarga mereka telah pergi ke Vietnam untuk memperingati ulang tahun ke-50 Pertempuran Long Tan esok.

“Kami telah bekerjasama dengan kerajaan Vietnam lebih 18 bulan untuk ini, ke arah memastikan bahawa majlis peringatan ini diadakan dalam cara sederhana dan menimbulkan rasa hormat,” kata Dan Tehan, Menteri Hal Ehwal Perajurit.

“Bagi kami untuk diberikan notis singkat tentang pembatalan itu, adalah satu tamparan yang sangat hebat,” katanya dari Canberra.

Pertempuran Long Tan berlaku pada 18 Ogos 1966 dan paling mahal yang melibatkan tentera Australia berjuang dalam Perang Vietnam.

Seramai 17 warga Australia terkorban dalam peperangan itu dan 25 cedera, salah seorang kemudian meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya. Tehan berkata dia amat kecewa dengan keputusan itu yang menurutnya ‘seharusnya tidak berlaku.”

“Harapan saya kerajaan Vietnam akan mengubahnya,” katanya, dengan menambah kata bahawa Perdana Menteri Malcolm Turnbull berharap akan dapat berbincang dengan rakan sejawatan mereka dari Vietnam berhubung isu ini.

Ketika memperingati Long Tan telah bermula di Australia, menurut Tehan, Canberra telah berusaha gigih untuk memastikan acara Vietnam ini adalah yang sederhana.

“Kami faham masih wujud kesensitifan di Vietnam,” dia memberitahu para pemberita.

Tehan berkata nampaknya keputusan itu hanya berdasarkan kesensitifan berkaitan Long Tan dan tidak berkaitan dengan aspek hubungan lain antara Canberra dan Hanoi. Menurut Jabatan Hal Ehwal Luar Australia berkata sementara pihak berkuasa Vietnam telah membatalkan majlis memperingati itu bagi Hari Perajurit Vietnam di tapak Long Tan Cross pada 18 Ogos, kemasukan persendirian ke tapak itu masih dibenarkan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA