Vietnam belasah Laos

Vietnam belasah Laos

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Satu-satunya perlawanan dalam Kumpulan B Festival Bola Sepak Serantau Bawah 14 Tahun (B-14) AFC hari ini berakhir berat sebelah dengan Vietnam menang 4-0.

Laos mula dapat merasakan perlawanan di Kompleks Sukan Berakas (KSB) petang ini tidak akan memihak kepada mereka apabila sudah terjaring ke gawang sendiri seawal minit kelima oleh Navin Thounsavath.

Vietnam mengalu-alukan gol pencetus semangat itu dengan menggandakan pendahuluan mereka 10 minit kemudian, kali ini hasil jaringan Huynh Cong Den.

Do Tan Thanh menjadikan kedudukan 3-0 empat minit kemudian iaitu pada minit ke-19, dengan kedudukan itu tidak berubah sehingga pengadil meniupkan wisel penamat babak pertama.

Dua belas minit selepas rehat Laos gagal mengeluarkan bola dari Petak D mereka selepas sepakan sudut Vietnam sekaligus membuka peluang Vietnam untuk memperoleh gol keempatnya.

Nguyen Hoang Huy menyaksikan bola rembatannya menuju gawang Laos untuk gol keempat Vietnam.
Nguyen Hoang Huy menyaksikan bola rembatannya menuju gawang Laos untuk gol keempat Vietnam.

Jaringan terhasil dengan rembatan kaki kiri Nguyen Hoang Huy selepas rembatan pertamanya menggunakan kaki kanan di tampan pertahanan Laos, cuma untuk bola kembali melantun kepadanya sekali gus memudahkannya menendang bola ke sebelah kiri penjaga gol Laos yang sekadar kaku melihat bola masuk menggegar gawangnya.

Perlawanan terakhir Kumpulan B adalah di antara Singapura dengan Thailand pada esok (Sabtu) di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) bermula jam 4 petang.

ARTIKEL YANG SAMA