Vietnam benam pasukan tuan rumah

Vietnam benam pasukan tuan rumah

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Brunei Darussalam bermula garang dengan taktik menekan lawan secara berterusan yang berhasil mengucar-kacirkan permainan Vietnam sehingga pasukan tuan rumah berulang kali berjaya membuka ruang melakukan cubaan, hanya saja kurang bernasib baik meraih jaringan.

Imam Mahdi bin Suhaimi, Mohd Aimanuddin bin Haji Masri, Mohd Aisan Aizuddin Abdullah bin Mohd Aiman dan Mohd Nur Salikin Mustanir bin Awang Haji Abas bersilih ganti mengasak kubu pertahanan lawan sehingga berjaya menerobos masuk sehingga ke petak D dalam aksi hari ke-4 Festival Bolasepak Bawah 14 Tahun (B-14) Serantau AFC 2016 itu.

Pada minit ke-8 Imam Mahdi menggunakan kepantasan dan kelincahannya untuk merampas bola daripada kapten Vietnam, Trinh Quang Truong berhampiran petak D Vietnam sebelum melepaskan rembatan kencang kaki kiri yang sekadar menggesek tiang luar gawang Vietnam. Brunei Darussalam hampir mendahului 1-0 selang dua minit kemudian apabila Mohd Nur Salikin Mustanir bin Awang Haji Abas berjaya melepaskan diri daripada kawalan Trinh untuk hanya berdepan dengan penjaga gol Vietnam namun Trinh yang terdesak segera menariknya jatuh di luar petak D.

Trinh bernasib baik apabila sekadar dilayangkan kad kuning tatkala dia boleh saja diarah keluar padang kerana dia merupakan pertahanan terakhir Vietnam dan menghadang peluang pasti menjaringkan gol secara tidak adil dengan menjatuhkan lawan.

Kelihatan Imam Mahdi dikelilingi ramai pemain Vietnam selepas berulang kali berjaya melepaskan diri dari kawalan mereka. Perlawanan berkesudahan dengan Vietnam menang 5-0.
Kelihatan Imam Mahdi dikelilingi ramai pemain Vietnam selepas berulang kali berjaya melepaskan diri dari kawalan mereka. Perlawanan berkesudahan dengan Vietnam menang 5-0.

Mohd Aimanuddin menggalas tugas mengambil sepakan percuma pada jarak dekat itu dan bola tendangannya tepat menuju ke sudut atas kiri gawang Vietnam, hanya sedikit tinggi melepasi palang atas. Brunei Darussalam terus mengasak namun dalam serangan balas pantas yang jarang, Vietnam pula yang tiba-tiba berjaya menggegar gawang Brunei Darussalam pada minit ke-19 menerusi rembatan kencang Vo Nguyen Hoang ke gawang kosong pada jarak 4 meter dari gawang selepas me-nerima hantaran lintang rendah rakannya di sayap kanan.

Tabuan B-14 berterusan mengasak dengan taktik yang sama, cuma kepenatan mula kelihatan memberi kesan kepada kepantasan pemain mengurangkan jarak dengan pemain lawan sehingga pemain Vietnam mula selesa mengawal bola.

Separuh masa kedua perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu bermula dengan Vietnam sekadar mendahului 1-0, namun kelalaian pertahanan tuan rumah membolehkan Vo meledakkan gol kedua peribadinya hanya 50 saat selepas sepak mula. Jaringan itu kelihatan memberi kesan negatif kepada pemain tuan rumah dan natijahnya Vietnam semakin selesa mengawal bola sehingga menyebabkan Brunei Darussalam mula sukar mendapatkan bola, apatah lagi melakukan cubaan ke gawang lawan.

Nguyen Quoc Hoang menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-38, sebelum dua lagi gol berjaya dihasilkan Vietnam pada enam minit terakhir perlawanan iaitu pada minit ke-54 oleh Doan Minh Nhut dan minit ke-57 oleh Tran Thanh Tu untuk keputusan muktamad 5-0.

Keputusan lain perlawanan lain hari ini menyaksikan Laos menang 4-1 ke atas Filipina sementara Malaysia menundukkan Kemboja 5-1 pada dua aksi yang bermula pukul 7:30 pagi.

Aksi yang bermula serentak dengan perlawanan Brunei menentang Vietnam iaitu pukul 9:30 pagi menyaksikan Myanmar mudah menewaskan Singapura dengan jaringan 6-1. Aksi lewat petang ini pula menyaksikan Malaysia menang tipis 1-0 ke atas Filipina dan Laos membelasah Timor Leste 7-0.

ARTIKEL YANG SAMA