Vietnam berminat contohi pasaran bon Malaysia

Vietnam berminat contohi pasaran bon Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) – Vietnam berhasrat mencontohi model Malaysia dalam membangunkan pasaran bon bagi membiayai ekonominya yang semakin berkembang dan peningkatan minat terhadap dana infrastruktur jangka panjang, kata Setiausaha Agung Persatuan Pasaran Bon Vietnam (VBMA) Do Ngoc Quynh.

Selama ini negara itu bergantung terhadap pembiayaan bank tetapi dengan permintaan yang meningkat terutamanya pembiayaan bagi projek-projek infrastruktur jangka sederhana dan panjang, negara itu perlu menubuhkan pasaran hutang, memandangkan kekangan yang dihadapi bank-bank.

Quynh berkata pada masa ini Malaysia merupakan yang terbaik di rantau ini dari segi saiz pasaran bon berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Saya berpendapat kerajaan dan bank pusat Malaysia telah menunjukkan prestasi yang amat baik dalam membangunkan pasaran bon domestik.

Quynh mengetuai delegasi 24 anggota yang terdiri daripada para pegawai kanan pihak berkuasa kawal selia, Kementerian Kewangan, Bank Negara Vietnam, Bursa Saham Hanoi serta beberapa wakil organisasi perbankan dan pelaburan Vietnam.

“Setakat ini kami bergantung kepada pelabur tempatan terutamanya bank-bank komersial dan tidak mempunyai banyak pelabur asing seperti di Malaysia,” katanya.

Jumlah pasaran bon Vietnam berbanding KDNK hanya pada 22 peratus sehingga Disember tahun lepas manakala saiz pasaran bon Malaysia sebanyak AS$315 bilion dan berbanding dengan KDNK adalah 103 peratus, ketiga terbesar di Asia selepas Jepun dan Korea. (AS$1 = RM4.35).

Pasaran bon Vietnam setakat 30 Jun, 2015 ialah pada AS$43 bilion, dengan bon kerajaan menguasai 98.7 peratus manakala bon korporat hanya 1.3 peratus.

Nisbah peratusan bon korporat Malaysia kini kira-kira 40 peratus dan bon kerajaan sekitar 60 peratus, dan negara boleh mendakwa menjadi modal sukuk (bon Islam) dunia dengan lebih 60 peratus penerbitan sukuk dunia berlaku di Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA