Vietnam kecam bantahan aktivis Kemboja

Vietnam kecam bantahan aktivis Kemboja

HANOI, 1 Jul (AFP) – Vietnam hari ini mengecam apa yang dianggapnya satu serangan oleh aktivis Kemboja ke atas polis dan warga Vietnam yang tinggal berhampiran sempadan kedua-dua negara, yang meninggalkan lebih berpuluh orang cedera.

Kira-kira 250 aktivis Kemboja, termasuk seorang penggubal undang-undang dengan Parti Menyelamat Nasional kemboja (CNRP), memasuki wilayah Vietnam secara haram di selatan wilayah Long An pada hujung minggu, kata kementerian luar negeri di Hanoi.

“Pegawai keselamatan Vietnam dan penduduk tempatan cuba memujuk aktivis dan menghalang mereka, tetapi mereka diserang, tujuh warga Vietnam mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Parti pembangkang Kemboja telah lama mengkritik hubungan Phnom Penh dengan Hanoi dan sering menuduh Vietnam merampas wilayah Kemboja di sepanjang sempadan 1,270 kilometer, yang belum ditandakan sepenuhnya.

Serangan retorik dan adakalanya fizikal oleh penggubal undang-undang pembangkang dan aktivis di sempadan Vietnam telah menjadi satu kejadian umum dalam beberapa tahun ini.

Vietnam “mengecam perbuatan ganas berkenaan” yang mungkin menjejas hubungan baik di antara kedua-dua negara, kata jurucakap kementerian Le Hai Binh dalam kenyataan. Beliau menambah Kemboja harus mengambil “langkah wajar” untuk berurusan dengan aktivis dan tidak membenarkan serangan berlaku sekali lagi.

Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan sekumpulan aktivis Kemboja mengibar bendera, menjerit dan cuba menolak merempuhi pengawal sempadan Vietnam. Kemboja meluahkan rasa kesal terhadap kejadian itu, menurut satu kenyataan daripada pentadbiran wilayah Svay Rieng, dan berkata sepuluh warga Kemboja juga telah mengalami kecederaan ketika pergaduhan tersebut.

Pihak berkuasa Kemboja belum dihubungi mengenai lawatan sempadan dan berkata aktivis “berniat menimbulkan keadaan tidak terjamin di sepanjang sempadan.”

ARTIKEL YANG SAMA