Vietnam-Kemboja cari jalan penyelesaian

Vietnam-Kemboja cari jalan penyelesaian

HANOI, Vietnam, 20 Julai – Kumpulan kerja bersama Vietnam-Kemboja baru-baru ini membuat pemeriksaan di kawasan sempadan antara kedua-dua negara di kampung Binh Bac, di wilayah Long An, lokasi berlakunya insiden ganas berpunca kumpulan pelampau Kemboja pada 28 Jun lepas, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Pasukan pemeriksa Vietnam diketuai oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Persempadanan Kebangsaan di bawah Kementerian Luar, Nguyen Anh Dung, sementara pasukan Kemboja dipimpin oleh Setiausaha Negara di Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa, Long Visalo.

Di kawasan pemeriksaan, kedua-dua belah pihak memeriksa dan menjelaskan kawasan yang spesifik, di mana insiden berlaku, sementara turut mendengar keterangan para saksi dari kedua-dua negara dan mentakrifkan sebab di sebalik insiden berkenaan.

Pasukan Kemboja melahirkan rasa simpati dengan warga Vietnam yang mengalami kecederaan serta meminta bagi persefahaman mereka.

Berikutan pemeriksaan dan penyiasatan di kawasan terssbut, kedua-dua belah pihak kemudian mengadakan rundingan di wilayah Svay Rieng di Kemboja, yang menyaksikan kedua-dua belah pihak bersetuju untuk berusaha mencegah berulangnya kes yang sama.

Mereka turut berikrar untuk menghormati perjanjian yang sudah dimeterai dan kenyataan bersama di antara Vietnam dan Kemboja yang dikeluarkan pada 17 Januari 1995. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA