Vietnam lancar sistem jendela tunggal

Vietnam lancar sistem jendela tunggal

BANGKOK, 9 Sept – Vietnam hari ini menjadi negara anggota ASEAN kelima melancarkan sistem jendela tunggal.

Dalam satu kenyataan di sini, hari ini, Setiausaha Agung ASEAN, Le Luong Minh berkata pelancaran berkenaan menandakan komitmen negara itu terhadap integrasi ekonomi dan proses pembinaan komuniti blok tersebut.

“Jendela tunggal nasional adalah prasyarat bagi Jendela Tunggal ASEAN (ASW) dan memainkan peranan penting dalam memenuhi objektif kemudahan perdagangan daripada kerajaan iaitu untuk mengurangkan masa pelepasan di sempadan,” katanya.

Le berkata demikian pada majlis perasmian pelaksanaan Jendela Tunggal Nasional Vietnam dan penyambungan teknikal kepada ASW di Hanoi semalam.

Le berkata pelaksanaan ASW akan menggalakkan penyelarasan standard dan prosedur pematuhan, termasuk meningkatkan peraturan keutamaan prosedur asal intra-ASEAN.

Ia akan memudahkan penyelarasan dan kerjasama antara pentadbiran kastam, integrasi dan ketelusan prosedur kastam, perkongsian risikan kastam untuk lebih baik dan pengurusan risiko yang moden, dan matlamat konkrit lain Visi Kastam ASEAN 2015, katanya.

Jendela Tunggal Nasional adalah satu sistem yang membolehkan pengemukaan tunggal data dan maklumat; pemprosesan maklumat dan data tunggal dan serentak, serta satu pembuat keputusan untuk pelepasan kastam. – Bernama