Vietnam pengeksport ASEAN terbesar ke Jerman

Vietnam pengeksport ASEAN terbesar ke Jerman

FRANKFURT, 24 Ogos (Bernama) – Vietnam mengambil alih kedudukan Malaysia sebagai pengeksport terbesar rantau ini ke Jerman pada separuh pertama 2015.

Angka terkini profil perdagangan Jerman bagi tempoh Januari-Jun 2015 itu di keluarkan oleh Majlis Perniagaan Jerman-Asia Pasifik (OAV) yang berpejabat di Hamburg.

Menurut OAV, yang mempromosikan kepentingan perbadanan Jerman untuk menjalin hubungan perdagangan dan perniagaan dengan Asia Pasifik, eksport Vietnam ke Jerman pada separuh pertama 2015 berjumlah 3.862 bilion Euro atau peningkatan sebanyak 38.6 peratus.

Bagaimanapun import Vietnam dari Jerman pada tempoh yang sama bernilai 922 juta Euro, penurunan satu peratus berbanding tempoh yang sama sebelumnya.

Eksport Malaysia ke Jerman pada separuh pertama tahun semasa bernilai 3.482 bilion Euro, meningkat 15.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Import Malaysia dari Jerman juga meningkat 7.8 peratus kepada 2.462 bilion euro.

ARTIKEL YANG SAMA