Vietnam ramal masa depan 4G LTE cerah

Vietnam ramal masa depan 4G LTE cerah

HANOI, 4 April (Bernama) – Vietnam ingin melihat rangkaian 3G dan 4G meliputi 95 peratus kawasan kediaman menjelang tahun 2020, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik Timbalan Menteri Penerangan dan Komunikasi negara itu, Phan Tam, sebagai berkata.

Bercakap di Bengkel Visi LTE Vietnam-Korea Selatan 2016, yang diadakan di sini pada 1 April, Phan berkata di bawah pelan jalur lebar nasional, teknologi paling maju seperti evolusi jangka panjang (LTE), mencuri perhatian agensi pengurusan mahupun penyedia perkhidmatan telekom. Kementerian itu telahpun membenarkan perniagaan menjalankan program perintis 4G LTE sejak 2010.

Berdasarkan permintaan pasaran, beserta teknologi, kelengkapan dan syarat lain, Vietnam memberi lesen bagi rangkaian perintis LTE dan LTE-Adv kepada beberapa syarikat telekom yang bergabung dengan Viettel dan Vinaphone di pelbagai kawasan.

LTE ialah antara teknologi terkini telekom mobil, dikenali sebagai Generasi Keempat (4G) yang menyediakan perkhidmatan data mobil 10 kali ganda lebih pantas kepada pengguna akhir berbanding kelajuan maksimum 3G.

ARTIKEL YANG SAMA